Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jho Low bukan pelanggan kami - Broker warga negara
Diterbitkan:  Nov 5, 2019 6:13 PM
Dikemaskini: 10:13 AM

Broker kewarganegaraan, Henley & Partners menolak dakwaan ahli perniagaan dalam buruan Jho Low merupakan pelanggan syarikat itu.

Firma berpengkalan di Singapura itu dalam suatu kenyataan kepada Malaysiakini berkata walaupun Jho Low pernah menghubungi mereka pada 2015 tetapi permintaannya telah ditolak.

"Bercanggah dengan apa yang telah dinyatakan dalam pelbagai artikel, Low tidak pernah menjadi pelanggan kewarganegaraan Henley & Partners.

"Ini walaupun dia pernah menghubungi Henley & Partners pada tahun 2015, namun firma kami enggan menerima Low sebagai pelanggan.

"Oleh itu adalah salah menyatakan bahawa Henley & Partners membantu Jho Low memperoleh kewarganegaraan Cyprus," kata firma itu.

Henley & Partners merujuk kepada laporan akhbar di Cyprus, Politis yang mendakwa firma itu membantu Jho Low mendapatkan kewarganegaraan Cyprus dengan mendepositkan wang tunai berjumlah lima juta euro (RM23 juta) dan membeli hartanah bernilai sekurang-kurangnya 500,000 euro (RM2.3 juta).

Firma itu berkata terdapat banyak artikel "mengelirukan" yang mengaitkan mereka dengan Jho Low dan menegaskan syarikat itu tidak pernah didekati oleh mana-mana organisasi media terlebih dahulu bagi penegsahan.

Firma tersebut juga mendakwa para pelanggan tertakluk kepada pemeriksaan yang ketat sebelum permohonan mereka diserahkan untuk pertimbangan negara berdaulat.

"Penting juga untuk dinyatakan dalam konteks pemerolehan kewarganegaraan Cyprus oleh Low serta dalam kes-kes lain, bahawa kerajaan Cyprus lah yang bertanggungjawab terhadap pemprosesan dan kelulusan permohonan kewarganegaraan.

"Lebih-lebih lagi, kerajaan berada dalam kedudukan untuk membatalkan sebarang kewarganegaraan yang diberikan di bawah program mereka jika terdapat representasi yang salah oleh pemohon," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Jho Low, yang lari daripada pihak berkuasa Malaysia sejak 2015, didakwa memiliki beberapa passport. Menurut polis Malaysia, dia telah menjalani pembedahan plastik dan kini "kelihatan seperti beruang".

Laporan akhbar Politis telah memalukan kerajaan Cyprus, manakala pemimpin gereja Kristian Ortodoks Cyprus, Ketua Biskop, Chrysostomos II berkata beliau tidak mempunyai kepentingan peribadi untuk mengesyorkan agar Jho Low diberikan kewarganegaraan pada September 2015.

"Dia (pemaju) memberitahu kami dia (Jho Low) membina rumah-rumah di tanah yang dibeli dari kami [gereja]," kata Chrysostomos.

Lihat Komen
ADS