Kerajaan PAS yang memerintah Terengganu sepanjang tahun 2000-2004 didakwa melakukan 'kenduri tanah' apabila mengagihkan sewenang-wenang tanah kerajaan negeri kepada para penyokongnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Terengganu, Datuk Ahmad Said berkata, kerajaan PAS pimpinan Datuk Seri Haji Hadi Awang telah mengambil kesempatan memberikan tanah-tanah kerajaan yang bernilai tinggi dan mempunyai potensi besar kepada pengikut mereka.

Beliau berkata keadaan itu telah menyebabkan kesulitan kepada kerajaan negeri sekarang yang terpaksa membayar pampasan untuk mengambil semula tanah-tanah tersebut untuk kepentingan umum dan pelbagai projek pembangunan.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata demikian dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Kuala Terengganu hari ini.

Menurut Ahmad, antara tanah-tanah kerajaan yang diagihkan oleh PAS itu, tanah seluas 1.516 hektar di Batas Baru di Kuala Terengganu, yang diagihkan kepada Koperasi Penggunaan Insaf Terengganu (Koinsaf) pada 18 September 2002, dengan harga RM340,000.

Katanya harga pasaran sebenar pada waktu itu ialah RM1.7 juta manakala anggaran kos pengambilan semula tanah itu oleh kerajaan pada tahun 2006 ialah RM4.8 juta.

Selain itu, tanah yang diluluskan kepada Persatuan Isteri-isteri Wakil Rakyat Negeri Terengganu (Khairunnisa) pada 19 Februari 2003 di Jalan Sultan Omar dengan premium tanah sebanyak RM156,960 berbanding anggaran kos pengambilan tanah mencecah RM1.56 juta.

Satu lagi tanah yang diluluskan kepada Koperasi Khidmat Batu Buruk di Tok Adis fasa dua di Kuala Ibaii pada 2 Julai 2003, dengan kos premium tanah itu sebanyak RM22,000 sedangkan harga pasaran sekarang ialah RM2 juta.

"Tetapi tidak semua tanah kerajaan yang diagihkan semasa pemerintahan PAS itu diambil balik, ia bergantung kepada keperluan semasa," katanya.

Ahmad berkata kerajaan Barisan Nasional tidak akan sewenang-wenangnya mengambil balik tanah rakyat dan jika kerajaan hendak berbuat demikian, pampasan yang sewajarnya akan dibayar kepada mereka.

Dewan tegang

Berlaku sedikit ketegangan antara Ahmad dan Abdul Hadi dalam sidang hari ini apabila Presiden PAS itu dicabar bersumpah dengan al-Quran untuk membuktikan dakwaannya bahawa Umno yang mengarahkan pokok kelapa sawit ditanam di sebuah kawasan di Langkap, Setiu beberapa tahun lalu.

Dalam dakwaannya menerusi soalan tambahan, Abdul Hadi yang merupakan anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Rhu Rendang berkata Umno melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) telah menanam pokok sawit dan bukannya anak benih pokok itu, dalam masa tujuh hari, menyebabkan kerajaan PAS Terengganu pada waktu itu, terpaksa memusnahkannya kerana ia ditanam di kawasan tanah haram.

Tidak berpuas hati dengan dakwaan Abdul Hadi yang menyatakan perkara itu hanya lakonan Umno semata-mata, Ahmad mencabar ketua pembangkang itu untuk bersumpah dengan al-Quran atas kenyataannya itu.

Bagaimanapun, Abdul Hadi menolak kerana menurut beliau bersumpah dengan menggunakan al-Quran adalah amalan penganut agama Kristian yang bersumpah menggunakan kitab Injil.

"Jahil....,orang Islam tidak bersumpah dengan Quran. Orang Islam sumpah dengan nama Tuhan," kata Abdul Hadi.

Ahmad yang juga anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kijal, setuju untuk bersumpah dengan nama Tuhan, lantas disambut oleh Abdul Hadi bahawa beliau turut bersetuju untuk berbuat demikian tetapi di luar dewan.