Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bagi anak muda Tanjung Piai, tiada calon dapat ganti Farid

PRK TG PIAI | Dua calon utama dalam perebutan kerusi parlimen Tanjung Piai boleh mendabik dada dengan pengalaman panjang dalam politik.

Calon BN Wee Jeck Seng, 55, menggantikan bekas presiden MCA Ong Ka Ting sebagai wakil rakyat di situ dan memegang jawatan itu selama 10 tahun sebelum ditewaskan oleh Allahyarham Dr Md Farid Md Rafik.

Calon PH pula, Karmaine Sardini daripada Bersatu, ialah veteran Umno yang pernah menjadi anggota Jawatankuasa Umno Pontian sejak 2001 sebelum behijrah ke parti serpihan itu.

Namun, sebahagian anak muda di Tanjung Piai tidak begitu kisah dengan pengalaman Wee dan Karmaine.

Pada masa sama mereka masih mengenang Farid - yang datang dari keluarga Umno dan tiada pengalaman politik, sehinggalah beliau dipujuk oleh pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad untuk bertanding pada PRU ke-14 tahun lalu.

Sambil menghirup secawan Milo panas di satu kedai kopi di Serkat, iaitu kampung halaman Farid, seorang pemuda yang hanya ingin dikenali sebagai Shahdan mengimbas kembali bagaimana arwah begitu senang bergaul.

“Tua ke muda ke, arwah Farid boleh duduk dengan semua orang,” kata lelaki berusia 30 tahun itu.

Kawannya, Syam, berkata Farid tidak seperti orang politik veteran di kampung itu, dan sentiasa sedia mendengar suara anak muda.

Bukan sahaja anak muda, malah orang Umno seperti ketua Umno cawangan Serkat Laut Norhisham Othman juga memuji Farid, dengan menyifatkannya sebagai seorang yang rendah diri apabila pulang ke kampung, di sebalik kedudukannya sebagai timbalan menteri di jabatan perdana menteri.

Sikap itu barangkali boleh dilihat menerusi rumah keluarganya. Walaupun Farid berkhidmat lama dalam bidang perubatan di United Kingdom dan Melaka, dan kemudian menjadi timbalan menteri, rumah itu kekal serba sedeharna.

Terletak di simpang empat Serkat Laut itu, ia hanya berdinding papan di luar dan beratap zink yang sudah berkarat.

Rumah keluarga Farid

Pada PRU ke-14, Farid pernah mengaku yang dirinya seorang yang naif politik dan lebih mengutamakan kerjaya sebagai seorang pakar bius.

Minatnya hanya muncul apabila ibunya Normah Mohamed - dahulunya pernah menjadi ketua Wanita Umno cawangan - meninggalkan Umno setelah 38 tahun dan menjadi ahli Bersatu pada 2018.

Justeru menggantikan seorang yang senang didekati seperti Farid menjadi tugas yang sukar buat PH.

Di atas kertas, calon penggantinya iaitu Karmaine dilihat mampu menarik sokongan kalangan Melayu konservatif seperti di Serkat, kerana peranannya sebagai seorang imam di Johor Bahru.

Namun anak muda kampung itu yang ditemui Malaysiakini dilihat tidak begitu tertarik dengan Karmaine.

 “Itu dia (Karmaine) ronda-ronda,” kata Syam apabila konvoi kecil dengan bendera Harapan melalui kedai kopi tempat mereka minum petang.

“Dia tak tahu nak duduk dengan kita,” katanya lagi.

Keperluan untuk seorang calon dikenali penduduk kampung dilihat penting di Serkat, sebuah kampung yang terletak 10 minit dari tanjung selatan di mana kawasan parlimen itu mendapat namanya.

Di Serkat, siratulrahim antara penduduk adalah sangat erat. “Hampir semua penduduk sini beranak-pinak (ada pertalian antara satu sama lain),” kata Norhisam.

Sejumlah 97 peratus penduduk kampung itu ialah orang Melayu dan secara tradisinya ialah kubu BN.

Farid gagal menawan daerah mengundi Serkat pada PRU lalu. Namun beliau berjaya meraih 30 peratus undi di situ, mendapat 366 undi berbanding 844 undi untuk BN.

Ini merupakan peningkatan ketara berbanding keputusan Pakatan Rakyat pada tahun 2013, yang hanya mendapat 14 peratus undi di situ.

Antara faktor penyumbang pencapaian Farid adalah pengaruh ibunya, bekas ketua Wanita Umno cawangan Serkat Timur.

Jawatan seperti itu sangat bermakna di kampung-kampung Melayu, dengan mengambil kira rangkaian dan penglibatan Wanita Umno dalam acara komuniti seperti doa selamat dan kenduri kahwin.

Bagi Shahdan, pertukaran anggota parlimen daripada MCA kepada Farid di kawasan itu adalah perubahan yang bagus - terutama kerana dirinya seorang Melayu.

Katanya yang bekerja sebagai nelayan, bekas ahli parlimen Tanjung Piai Wee Jeck Seng adalah seorang yang berkhidmat dan berjasa kepada masyarakat.

 Tetapi di komuniti yang begitu rapat seperti di Serkat, terdapat harapan yang wakil rakyat mereka juga erat dengan masyarakat setempat.

Namun, sikap Wee yang didakwa kerap menghantar wakil ke majlis, tidak disenangi mereka yang ditemui Malaysiakini.

“Kalau Wee hantar RM10,000, bila sampai kat wakil, tinggal sikit saja lepas tu. Kerajaan sebelum ni tak telus, tak seperti Farid. Susah nak jumpa orang macam dia,” kata Shahdan.

Kata Shahdan, ramai anak muda di Serkat mahukan wakil rakyat Melayu. Rakannya Saiful berkata pemuda yang menyokong Umno di kampung itu sangat berharap BN akan mencalonkan ketua Umno Tanjung Piai Jefridin Atan.

Namun Jefridin tidak bertanding, dan Karmaine pula kurang disukai. Maka timbul persoalan, adakah anak-anak muda mungkin memberi undi kepada presiden Berjasa Badhrulhisham Abd Aziz.

Apabila ditanya tentangn perkara itu, rata-rata anak muda di meja kedai kopi itu tersenyum sinis diikuti dengan Shahdan yang berkata: “Berjasa ini, kita tak tau jasa dia apa.”

Tanpa seorang pun calon yang menarik hati, Syam - yang bekerja kampung seperti ramai pemuda lain di meja itu - berkata anak muda Serkat akan sukar untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

“Koyak la bontot duduk atas pagar,” katanya berulang kali disambut ketawa rakan-rakan yang lain.

“Silap-silap ada yang tak keluar undi pasal seluar dah koyak duduk atas pagar,” katanya lagi.

Kehilangan motivasi anak muda, yang menyokong PH pada PRU lalu, untuk mengundi bakal membawa padah kepada gabungan itu, terutama dalam pertembungan yang begitu sengit ini.

Berbeza pula dengan penyokong BN, yang dilihat tidak berganjak sokongan mereka.

Seberang jalan dari kedai kopi tempat Syam dan Shahdan minum petang, terdapat sebuah lagi warung yang dihias penuh dengan bendera dan panji BN. Kedai itu sudah dijadikan pusat daerah mengundi bagi BN.

 Di situ Abu Samah Mat Ali sedang minum secawan teh o suam, sambil bersembang dengan Norhisham dan rakan-rakan Umno yang lain.

Abu Samah adalah ketua Umno cawangan Serkat Timur dan dua pupu kepada ibu Farid. Katanya, kematian Farid merupakan peristiwa pilu bagi seluruh kampung.

Namun, sekarang Farid sudah tiada dan beliau yakin ramai ahli keluarga yang sebelum ini mengundi PH akan kembali kepada BN.

“Masih ada (yang akan undi PH), tapi ramai yang tidak,” katanya.

Dalam keadaan sokongan terhadap PH mungkin terhakis, seorang lagi anak Serkat iaitu Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub muncul memikul tanggungjawab untuk berkempen di kampung itu dan membawa sentuhan peribadi dalam usahanya itu.

Salahuddin sendiri lahir di sebuah rumah yang terletak hanya 200 meter dari rumah keluarga Farid.

Ketika Malaysiakini menemuramah Abu Samah dan Norhisham, Salahuddin secara kebetulan sedang berbual dengan orang kampung warung sebelah.

Menteri pertanian dan industri asas tani itu memandu sendiri ke kedai kopi tersebut, tanpa diiringi pegawai atau media.

Di tengah-tengah perbualan, beliau memanggil seorang ahli Umno dari warung tempat Malaysiakini bertemu penduduk, untuk duduk bersamanya.

Selain bersembang di kedai kopi, Malaysiakini juga mendapati bahawa Salahuddin menghadiri beberapa buah program lain yang tidak dijadualkan.

Antaranya ceramah kelompok di kampung Penerok pada malam Ahad lalu yang turut dihadiri Karmaine.

Selain itu, Salahuddin muncul tanpa diduga pada sebuah program di Serkat pada Isnin, di mana Abd Rahman Atan yang dikatakan rapat dengan Farid, sedang menerima bantuan.

Salahuddin bersama Abd Rahman Atan

 Rumah Abd Rahman terbakar tahun lepas akibat lintar pintas. Rumahnya dan 11 rumah lain akan dibina semula oleh Tenaga Nasional dibawah program zakat mereka bersama Majlis Agama Islam Johor.

Exco Johor Jimmy Puah, yang turut hadir di program tersebut, berkata kelulusan untuk membina semula rumah-rumah tersebut dibuat pada 4 Ogos ketika Farid masih lagi hidup.

Bercakap dengan Malaysiakini, Abd Rahman - yang tinggal hanya 500 meter dari rumah keluarga Farid - menyuarakan keyakinan bahawa pengundi sebayanya kekal menyokong PH.

“Orang-orang tua ni totok BN dan susah nak ubah…tapi ramai yang sudah buka mata dan berubah kerana pelbagai isu kerajaan,” katanya.

Abd Rahman Atan

 Namun ia bukanlah pandangan majoriti penduduk Serkat, yang kekal bersama BN walaupun sentimen antikerajaan sedang membuak ketika PRU ke-14.

Selain Salahuddin, ibu kepada Farid, Normah dikatakan giat berkempen untuk memastikan sokongan terhadap PH tidak menurun.

Pekerja-pekerja kempen memberitahu Malaysiakini bahawa Normah sering bergerak bersama Wanita PH, dan jadual mereka masih belum dikongsi dengan pijhak media.

Ibu Farid hanya dilihat media sekali sahaja sebaik kempen bermula, iaitu di program anjuran PKR Tanjung Piai, di mana beliau mengadakan pertemuan tertutup bersama Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Farid meninggal dunia akibat serangan jantung pada Sept 21, tiga minggu sebelum harijadinya ke-43.

Beliau sebelum ini menang kerusi Tanjung Piai dengan majoriti 524 undi.

Selain Karmaine, Wee, dan Badhrulhisham, tiga lagi calon yang merebut kerusi itu adalah Wendy Subramaniam dari Gerakan, dan dua calon bebas iaitu Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Hari mengundi adalah pada 16 November.

Lihat Komen
ADS