Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kehadiran menteri ke program sekolah perkara biasa, kata Maszlee

Kehadiran menteri ke program yang dibuat di sekolah kerajaan adalah perkara biasa, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Malah Maszlee berkata ada kehadiran atas pemintaan secara rasmi oleh pihak sekolah, antaranya dari Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

"Saya rasa bagi menteri (hal) biasa terima surat permohonan bantuan, minta sumbangan dari PIBG. Saya sendiri pun setiap kali ke Parlimen macam-macam surat datang ke pejabat.

"Memang permohonan PIBG bukan saja dari (sekolah) Tanjung Piai tetapi seluruh negara...Mereka nak buat acara, ada untuk penyelenggaraan dan hari sukan. Menteri memang biasa terima permohonan seperti itu," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas isu ucapan Salahuddin di SRJK (C) Pei Chio in Kukup Laut, Tanjung Piai yang antara lain memberi amaran bahawa negara akan menjadi huru-hara jika Umno dan PAS menjadi kerajaan.

Selepas dikritik, Salahuddin semalam mempertahankan ucapan itu dan berkata ia hanya peringatan buat PAS dan Umno untuk berhenti memainkan sentimen perkauman.

Beliau juga memberi sumbangan berjumlah RM5,000 kepada sekolah itu yang menurutnya telah dijanjikannya sebelum PRK.

Maszlee yang jug anggota Parlimen Simpang Renggam bagaimanapun ketika ditanya mengenai tindakan Salahuddin itu, enggan mengulas lanjut.

“Saya kena dengar perkara itu (ucapan Salahuddin), saya tidak tahu perkara ini. Saya kena tengok sendirilah nanti saya silap komen,” katanya.

Untuk rekod, calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini juga didakwa berkempen di kawasan sekolah pada Majlis Aspirasi Pra Sekolah Dun Kukup, 4 November lalu.

Presiden PKR Anwar Ibrahim pula berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membuat pemantauan dan menggesa semua pihak mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Kalau dalam sekolah kita ada peraturan dan kita elaklah. Tetapi kalau dah buat kena bagi nasihat, supaya jangan teruskan

“Kerana kita ada peraturan, kita harus patuh. Apa pun saya tak dapat sahkan kalau betul, saya percaya kena ikut peraturan, kod etika dan SPR juga memantau,” katanya.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada Bersatu pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

SPR menetapkan hari pengundian pada 16 Nov ini.

Lihat Komen
ADS