Bekas Setiausaha Politik Tun Dr. Mahathir Mohamad, Matthias Chang, meminta Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar meletakkan jawatan kerana gagal menangani isu jambatan baru dengan Singapura dengan bijak.

Sambil mempersoalkan kemampuan Syed Hamid, beliau yang menjadi penasihat kepada Dr. Mahathir berhubung hal ehwal masyarakat Cina, Chang juga menyifatkan Syed Hamid sebagai "big Napoleon" dalam pentadbiran Abdullah.

"Kita tidak boleh bertolak ansur dengan 'big Napoleon'. Jika mereka tidak mampu menjalankan tugas dengan baik, mereka patut meletakkan jawatan dari menjadi Menteri Luar atau ketua perunding," tegasnya.

Beliau mendakwa, bekas Perdana Menteri Singapura, Goh Chok Tong telah bersetuju dengan cadangan Malaysia untuk membina jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor itu.

Persetujuan Goh itu menurutnya dinyatakan dalam dua pucuk surat berkaitan bekalan air ke repubalik yang dikeluarkan oleh kerajaan Singapura pada tahun 2002.

" Oleh itu saya tidak faham mengapa Singapura kini mengenakan syarat ruang udara dan bekalan pasir dalam rundingan membina jambatan baru itu," ujarnya dalam sidang akhbar hari ini.

Chang berkata, beliau bukannya mengkritik Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tetapi merasakan Perdana Menteri telah mendapat nasihat dari seorang penasihat yang lemah seperti Syed Hamid.

'Media tidak adil'

"Ini bukan salah Pak Lah kerana beliau dikelilingi oleh para penasihat dan telah diberikan nasihat yang salah," ujarnya lagi.

Matthias, seorang peguam, juga menyifatkan media tempatan tidak berlaku adil kepada Dr. Mahathir kerana menapis kenyataan-kenyataan bekas Perdana Menteri itu.

Sehubungan itu beliau mencabar media massa menyiarkan sepenuhnya kenyataannya hari ini.

Dr. Mahathir minggu lalu telah menyatakan kritikannya terhadap keputusan pentadbiran Abdullah menghentikan projek jambatan baru di Selat Teberau.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, cadangan pembinaan jambatan baru itu dicetuskan lebih dua tahun lalu sebelum beliau bersara kerana ia mempunyai nilai dan peranan ekonomi yang tinggi bagi memajukan bahagian selatan tanahair.

Bagaimanapun Abdullah mengumumkan projek itu terpaksa dihentikan setelah mengambilkira sentimen rakyat dan faktor kedaulatan negara.