Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tak ada kawalankah kempen PRK kali ini, tanya Nik Abduh
Diterbitkan:  Nov 7, 2019 2:59 PM
Dikemaskini: 6:59 AM

PRK TG PIAI | PAS hari ini mendakwa ada beberapa parti politik melakukan kesalahan yang bertentangan dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Anggota Jawatankuasa Pusat PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, mendakwa belum reda lagi isu penggunaan jentera kerajaan semasa pilihan raya kecil (PRK) di Cameron Highlands dulu kes sama berlaku lagi beberapa hari lalu.

Kata Nik Abduh, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajar meneliti isu berkenaan dan - seperti yang dibahaskannya di Dewan Rakyat semalam - beliau berharap badan pengendali pilihan raya itu boleh menyediakan laporan mengenai hal tersebut.

Kata anggota parlimen Bachok itu, sejak beberapa hari kebelakangan ini pelbagai janji telah ditabur oleh pemimpin parti kerajaan menjelang PRK Tanjung Piai.

“Lebih malang lagi, kenyataan sesetengah pimpinan kerajaan yang berunsur hasutan, perkauman dan boleh menggugat keamanan serta kestabilan sosial dalam negara hari ini.

“Apakah tiada kawalan dalam kempen PRK pada hari ini?” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Nik Abduh berkata beliau berharap SPR dapat meneliti gesaannya untuk menyediakan laporan lengkap tersebut dan ia perlu dibentangkan di parlimen.

Lulus lebih awal

Katanya, hal itu bagi memastikan setiap parti politik mematuhi segala peraturan ditetapkan, menggalakkan aktiviti kempen berlaku secara sihat, selain memastikan amalan semak dan imbang yang berkesan terhadap peranan dimainkan SPR.

PRK Tanjung Piai menyaksikan pertembungan enam penjuru di antara calon BN, Wee Jeck Seng; Karmaine Sardini (PH), Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa), Wendy Subramaniam (Gerakan) serta calon bebas, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Beberapa menteri dilaporkan secara kebetulan memberi bantuan kepada rakyat di kawasan Tanjung Piai menjelang PRK itu.

Antaranya, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, pada 13 Oktober lalu mengumumkan peruntukan RM3 juta untuk kerja-kerja penambahbaikan serta pembinaan sebuah dewan di Kukup.

Zuraida berkata peruntukan berkenaan diluluskan lebih awal dan beliau hanya ke sana bagi memastikan kerja-kerja terus berjalan selepas MP penyandang bekas timbalan menteri di JPM Dr Md Farid Md Rafik, 42 meninggal dunia pada Sep lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, juga mengumumkan peruntukan RM4 juta bagi menambah baik kemudahan sukan dan reakreasi di Tanjung Piai.

Sehari sebelum penamaan calon, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub, mengumumkan dana RM3 juta untuk menambah baik tiga jeti di Tanjung Piai.

Salahuddin juga memberi sumbangan RM5,000 kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Pei Chio, Kukup Laut, di Tanjung Piai, Johor.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Johor Selatan Azli Mohd Azis menjelaskan bantuan tersebut merangkumi enam kawasan parlimen iaitu di Tanjung Piai, Tebrau, Kota Iskandar, Johor Bahru, Pasir Gudang dan Pulai.

SPR menetapkan tempoh kempen selama 14 hari dengan tarikh mengundi pada 16 November manakala 12 November ditetapkan sebagai hari pengundian awal.

Lihat Komen
ADS