Most Read
Most Commented
Read more like this

Perubahan terhadap pengurusan dan pentadbiran perlu dilakukan untuk menangani "kepincangan" yang telah berlaku kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata Senator Datuk Zainal Rampak yang juga ahli lembaga KWSP.

"Kebanyakan perkara dan pertikaian terhadap KWSP adalah kerana berlakunya kepincangan dalam pengurusannya," tambah beliau.

Menurutnya kepincangan itu berlaku pada sistem pengurusan dan pentadbiran yang dilaksanakan oleh institusi itu kini.

"Kepincangan sistem pengurusan yang dimaksudkan itu termasuklah pengurusan pelaburan yang dibuat oleh institusi ini," katanya ketika dihubungi malaysiakini petang tadi, bagi mengulas mengenai prestasi institusi tersebut selepas 50 tahun ia ditubuhkan.

Sejak kebelakangan ini, kredibiliti institusi itu dipertikaikan apabila ia dikaitkan dengan beberapa isu, antaranya isu kerugian RM110 juta yang dialami institusi itu dalam pelaburan bernilai RM 269.28 juta dalam Time dotCom .

Selain itu, institusi tersebut turut menghadapi masalah dalam pelaksanaan skim anuiti apabila Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tidak bersetuju pengendalian skim itu diuruskan oleh syarikat insuran terpilih kerana mahu ia diuruskan oleh institusi itu sendiri.

Mengatasi kepincangan

Menurut Zainal bagi mengatasi kepincangan itu beberapa perubahan perlu dilakukan kepada dua aspek itu.

"Sebagai institusi penyimpan wang yang terbesar di negara ini perubahan untuk mengatasi kepincangan itu perlu dilakukan," katanya.

Katanya daripada aspek pentadbiran, institusi itu perlu mengambil tenaga kerja profesional yang lebih berkelayakan.

"Bukan (KWSP) kini tidak ada (tenaga kerja profesional) tetapi kita perlu mereka yang pakar dengan apa yang mereka kendalikan terutama yang berkaitan dengan pelaburan," tambahnya.

Dalam pada itu, Zainal yang juga presiden MTUC turut bersetuju dengan kenyataan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad bahawa institusi itu mesti telus dan responsif kepada kemusykilan.

"Jika itu yang diharapkan (oleh kerajaan) agar kita lebih telus dan terbuka, kita menyokong ke arah itu kerana fungsi institusi ini ialah untuk menjaga wang rakyat maka rakyat perlu tahu apa yang berlaku kepedanya," katanya.

"Mungkin tidak secara langsung. Ia mesti terbuka. Ia mesti responsif kepada kemusykilan. Tetapi seharusnya ia mengenai keprihatinan sebenar pencarum, dan bukan sebilangan kumpulan yang 'ada udang di sebalik batu'. Dr Mahathir dipetik dalam laporan wawancara akhbar utama hari ini.

Wakil pekerja ditambah

Selain itu, menurut Zainal pihaknya pernah mengemukakan cadangan agar bilangan wakil pekerja dalam lembaga pengarah institusi itu ditambah.

"Apa yang dimahukan ialah 50 peratus ahli lembaga pengarahnya terdiri daripada wakil pekerja kerana pekerja adalah pihak penyumbang kepada institusi itu," katanya.

KWSP yang ditubuhkan sejak Oktober 1951 diuruskan oleh sebuah Lembaga yang terdiri daripada seorang pengerusi, timbalan pengerusi dan ahli lembaga yang tidak lebih 18 orang. Lembaga tersebut bertanggungjawab dalam menentukan polisi.

Ketika ini institusi itu mempunyai masing-masing lima wakil daripada pihak majikan dan pekerja.

Setakat Disember tahun lalu, KWSP mempunyai jumlah pelaburan sebanyak RM179 billion dan aset bernilai RM185 billion.

Sehingga Jun 2000, KWSP mempunyai kira-kira 9.73 juta ahli dan 4.8 juta daripadanya adalah ahli yang aktif mencarum.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS