Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini mengambil maklum aduan dua suspek yang dikaitkan dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) bahawa mereka diberi layanan buruk, diseksa dan diugut semasa penahanan mereka.

Hakim Azura Alwi berkata demikian selepas mengambil kira keterangan dalam kamera yang dijalankan pada 1 November lalu melibatkan dua suspek, iaitu pengusaha kedai runcit B Subramaniam, 57, dan pengutip besi buruk A Kalaimughilan, 28.

Azura kemudian memutuskan tarikh 5 dan 6 Disember untuk mahkamah melakukan pemeriksaan terhadap aduan tersebut, bawah seksyen 133 Kanun Tatacara Jenayah.

“Mahkamah telah mendengar segala aduan OKT (orang kena tuduh) pada 1 November. Sehubungan itu, mahkamah memutuskan mahkamah ini mengambil maklum kesalahan-kesalahan (seperti yang didakwa)...

“Selepas mendengar aduan daripada kedua-dua tertuduh itu, mahkamah berpuas hati ada kesalahan untuk diambil maklum di bawah Seksyen 128 Kanun Tatacara Jenayah.

“Satu pemeriksaan lanjut terhadap kedua-dua tertuduh akan diteruskan mengikut Seksyen 133 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

Seksyen 128 antara lain menyatakan bahawa apabila mahkamah menerima aduan atau mengesyaki kesalahan itu dilakukan, menghendaki mahkamah itu menyiasat perkara itu manakala Seksyen 133 antaranya menyatakan bahawa apabila mahkamah mengetahui sesuatu aduan, mahkamah hendaklah menetapkan suatu tarikh untuk memeriksa pengadu.

Hari ini pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Low Qin Hui manakala peguam S Selvam mewakili kedua-dua tertuduh.

Selvam ketika ditemui wartawan, berkata, keputusan itu menunjukkan hakim percaya ada asas dalam aduan yang dikemukakan saksi.

Susulan aduan yang dikemukakan oleh Selvam dan peguam bela Kalaimughilan, MV Yoges, pada 31 Oktober, Azura memutuskan untuk merakamkan kenyataan daripada kedua-dua tertuduh itu dalam kamera pada 1 November, di bawah Seksyen 131 Kanun Tatacara Jenayah.

Keterangan dalam kamera bermakna hanya hakim, peguam dan saksi yang dibenarkan hadir semasa prosiding itu.

Antara aduan mereka ialah diugut, dikurung dalam bilik gelap, tidak disediakan katil dan bantal di penjara, serta tandas tersumbat dan penuh dengan nyamuk, tikus serta lipas.

Low berkata dalam pemeriksaan itu nanti, suspek akan memberikan keterangan bersumpah dan itu akan memberikan ruang untuk pemeriksaan dilakukan ke atas keterangan mereka.

Subramaniam dan Kalaimughilan adalah antara mereka yang ditahan dalam operasi khas polis awal Oktober lalu. Kalaimughilan dihadapkan ke mahkamah kali pertama pada 29 Oktober lalu, manakala Subramaniam pada 31 Oktober.

Kedua-dua tertuduh ditahan reman di Penjara Sungai Buloh mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan di bawah SOSMA juga mereka tidak dibenarkan diikat jamin sementara menunggu perbicaraan atau kes selesai.

Lihat Komen
ADS