Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin percaya MB Perak cakap tentang pengalaman peribadi

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin percaya Menteri Besar Perak Faizal Azumu bercakap mengenai pengalaman peribadinya apabila mengatakan 'berseorangan' dalam menghadapi DAP di negeri itu.

Ketika ditemui pada sidang akhbar di Tanjung Piai, Muhyiddin berkata beliau tidak tahu butiran terpeinci tentang apa yang berlaku tetapi telah diberi taklimat mengenainya.

"Saya fikir soal pengalaman peribadi, pasal apa pun beliau MB dan DAP rakan penting di Perak. 

"Itu biasalah. Pasal mungkin sebab dia seorang daripada Bersatu. Tapi kedudukan dia sebagai MB boleh membantu. Bagi saya itu private experience," katanya di Balai Polis Pekan Nanas hari ini.

Video memaparkan percakapan Faizal tersebar hari ini di mana beliau berkata berseorangan dalam 'melawan puak-puak DAP' demi 'mempertahankan 'tanah Melayu' dan agama Islam.

"Macam saya di Perak, saya seorang terkontang-kanting nak lawan dengan puak-puak DAP ini.

"Saya nak pertahankan tanah orang Melayu. Saya nak perjuangkan agama kita," katanya kepada sekumpulan orang dalam satu pertemuan tidak rasmi.

Calon Pakatan Harapan (PH) di Tanjung Piai, Karmaine Sardini juga dilihat dalam rakaman video berkenaan.

Bagaimanapun Faizal kemudian mendakwa kenyataannya itu diambil di luar konteks.

"Saya telah mengatakan bahawa saya telah melalui banyak (pengalaman) di Perak dan terdapat pemimpin DAP cuba jatuhkan saya.

"Apa yang penting ialah kita semua bekerjasama rapat," katanya dipetik FMT.

Tak jejaskan PRK

Muhyiddin berkata beliau akan berbincang dengan Faizal untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai apa yang berlaku.

Ditanya sama ada video percakapan Faizal itu akan menjejaskan peluang PH di Tanjung Piai, Presiden Bersatu itu berkata beliau tidak mengharapkan perkara itu akan berlaku.

Katanya, semakin ramai pemimpin tertinggi DAP turun berkempen di Tanjung Piai kerana sedar bahawa perjuangan PH bukan mengenai DAP mahupun Bersatu semata-mata.

"Ini kes isolated (terasing), kami di Tanjung Piai berkempen secara sihat, tiada nak singkir ketepikan mana-mana pihak," katanya. 


Lihat Komen
ADS