Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syed Saddiq: Pelumba basikal negara pun mula dengan basikal lajak

Mengulas mengenai remaja yang mempunyai hobi basikal lajak, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abd Rahman mengambil contoh pelumba basikal negara Harrif Salleh.

Sebelum menempah nama di arena sukan berbasikal, kata Syed Saddiq, pelumba basikal profesional dari Terengganu itu turut mempunyai hobi sama.

“Dia pernah kongsi cerita sebelum ini (dalam sebuah wawancara), dia mula dengan basikal lajak.

“Akhirnya, kini dia merupakan idola basikal negara dan dia berjaya semasa perlumbaan basikal pada tahun ini di Langkawi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Ekonomi Belia 2019 di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, pagi tadi.

Dalam saingan Le Tour de Langkawi baru-baru ini, Harrif, 31 memenangi saingan Peringkat 2 dari Senawang ke Dataran Pahlawan, Bandaraya Melaka sejauh 200.6 kilometer dengan catatan masa 4 jam 53 minit 20 saat.

Syed Saddiq berkata demikian sebagai jawapan kepada soalan pemberita yang  bertanya berhubung langkah yang diambil Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memanfaatkan minat kanak-kanak dan remaja berbasikal lajak.

Ketua Pemuda Bersatu (Armada) itu sebelum ini berkata kementeriannya akan mengambil pendekatan melatih golongan remaja yang minat basikal lajak dengan pendidikan TVET (Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional).

Langkah berkenaan, katanya, bagi memastikan golongan itu mampu berjaya dalam kehidupan.

Mengulas soalan lain pemberita, Syed Saddiq berkata sokongannya terhadap golongan remaja yang mempunyai minat berkenaan tidak bererti dia tidak mengutamakan pendidikan.

Sebaliknya, kata Syed Saddiq, kemahiran dan pendidikan perlu bergerak selari.

“Yang penting adalah kita cari jalan untuk menekankan keselamatan supaya mereka tidak lagi bermain basikal lajak di jalan raya tanpa memakai peralatan keselamatan...

“Saya rasa perkara paling mustahak sekali adalah kita pastikan kita membimbing mereka. Kita perlu didik mereka supaya akhirnya kita dapat selamatkan mereka,” katanya.

Perbincangan mengenai aktiviti basikal lajak kembali menjadi tumpuan selepas Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 28 Okt lalu membebaskan seorang jurujual wanita daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, dua tahun lepas.

Lihat Komen
ADS