Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

KES SRC NAJIB | Bekas perdana menteri, Najib Razak, terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahnya membela diri terhadap kesemua tujuh pertuduhan dalam perbicaraan syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC), kata peguamnya.

Muhammad Shafee Abdullah memberitahu pemberita tengah hari tadi, sebelum ini mereka yakin Najib akan dibebaskan tanpa perlu membela diri.

“Beliau terkejut dan menjangkakan pembebasan daripada ketujuh-tujuh pertuduhan tersebut,” kata Shafee pada sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Menurut peguam terbabit, pihaknya berkeyakinan sedemikian kerana mereka berjaya mematahkan hujah pertuduhan pihak pendakwaan.

"Jadi sudah tentu beliau terperanjat... terkejut adalah perkataan lebih tepat,” tambahnya.

Shafee bercakap kepada media selepas hakim, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, menyampaikan keputusannya dan memutuskan pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie bagi semua tujuh tuduhan yang dikenakan kepada Najib.

Hakim yang membaca ringkasan keputusan itu selama kira-kira sejam memerintahkan Najib membela diri atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik syarikat SRC. 

Sementara itu, mengulas mengenai keputusan mahkamah, Shafee berkata walaupun sedih kerana anak guamnya diarah membela diri, beliau juga gembira kerana memberi peluang kepada Najib untuk memberitahu cerita dari pihaknya sendiri.

"Apa yang boleh saya katakan ialah, setelah mendengar keputusan itu, walaupun saya sedih beliau (Najib) diperintah untuk membela diri, tetapi saya gembira atas dua sebab.

“Satu, anda akan mendengar kisah sebenar dari tertuduh. Dia perlu memberitahu versi apa yang berlaku di SRC, sejauh mana yang dia tahu, apakah perkara yang boleh dipertikaikannya, sama ada dia mengawal SRC, seperti yang telah kita katakan bahawa ia bukan bawah kawalannya," katanya.

Shafee menambah bahawa beliau percaya alasan yang diberikan oleh hakim akan menjadikan pembelaan lebih mudah "kerana perkara-perkara yang jelas tidak dapat dibuktikan... tidak boleh dibuktikan, telah dipertimbangkan."

Lihat Komen
ADS