Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Bukan semua pesakit kencing manis tak boleh baharui lesen’

PARLIMEN l Menteri Pengangkutan Anthony Loke menjelaskan pemeriksaan kesihatan untuk pembaharuan Lesen Kenderaan Perdagangan (GDL) dan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV), bukanlah perkara baru, sebaliknya sudah lama dijalankan.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan oleh Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) tentang mogok besar-besaran oleh pemandu lori di beberapa lokasi bagi membantah pemeriksaan itu yang katanya, menyebabkan pesakit kencing manis dan darah tinggi tidak boleh memperbaharui lesen selama tiga bulan.

Kata Loke, dakwaan itu adalah “dakyah dan fitnah yang tidak tepat,”, kerana bukan semua penghidap kencing manis dan darah tinggi tidak boleh memperbaharui lesen, sebaliknya ia bergantung pada penilaian doktor.

“Kalau doktor kata mereka cukup sihat untuk memandu, tak ada masalah. Itu pengesahan dari doktor, bukan bermaksud sesiapa ada kencing manis atau darah tinggi terus tak boleh memandu. Tak betul.

“Selagi doktor beri pengesahan, bahawa mereka sedang diberi rawatan, ada makan ubat, dan lulus dari segi boleh memandu, tak ada masalah.

“Autoriti yang sahkan tahap keselamatan dan kesihatan itu bukan di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), (tapi) di bawah doktor. Kalau doktor kata boleh, tak ada masalah bagi JPJ untuk perbaharui lesen mereka,” katanya semasa waktu pertanyaan menteri di Parlimen.

Pada 2 November lalu, Loke bercakap mengenai hal sama, dengan menekankan bahawa pemeriksaan kesihatan itu bukanlah dasar baru diperkenalkan kementeriannya, tetapi ia adalah syarat yang termaktub dalam Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Katanya, hal itu tidak boleh dikompromi memandangkan ia melibatkan soal keselamatan orang ramai.

Menjawab soalan susulan Azeez yang meminta kementerian pengangkutan memikirkan pendekatan “luar kotak” seperti tabung kebajikan bagi membantu pemandu yang tidak boleh memperbaharui lesen mereka, Loke menjawab kementerian sentiasa mencari jalan membantu mereka.

“YB Baling pun banyak tabung kebajikan kan, boleh bantu mereka. Kita sama-samalah.

“Saya harap jangan ada mana-mana pihak cuba mempolitikkan perkara seperti ini, sebab ia isu keselamatan…” katanya.

PRM jumpa wakil kementerian

Sementara itu di Putrajaya, Parti Rakyat Malaysia (PRM) Selangor mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pengangkutan bagi membincangkan isu sama.

Bagaimanapun Presiden PRM S Manikavasagam hanya dapat bertemu dengan wakil kementerian itu, iaitu Setiauasaha Politik Kementerian Pengangkutan Mohamad Dahlan Maamor.

Manikavasagam berkata beliau mendapat reaksi positif dan separuh daripada perkara yang dibangkitkan pihaknya telah dapat diselesaikan.

"Ada setengah kita kena bawa kepada menteri dan ada setengah kita dapat selesaikan di situ juga. Tetapi mereka berjanji akan bincangkan perkara itu dan akan kembali kepada kami," katanya.

Selain isu pembaharuan lesen SPV dan GDL, PRM turut membangkitkan sejumlah lagi isu berkaitan pemandu lori iaitu jumlah saman tinggi, muatan berlebihan, pemeriksaan kenderaan, pengurangan waktu sekatan dan pengurangan mata demerit.

Lihat Komen
ADS