Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Syarat baru SPR tak masuk akal, kata Mahdzir
Diterbitkan:  Nov 12, 2019 5:54 PM
Dikemaskini: 9:54 AM

PRK TG PIAI | Naib Presiden Umno, Mahdzir Khalid, hari ini menganggap peraturan baru dikuatkuasakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai keterlaluan.

Bercakap kepada media di lobi parlimen hari ini, bekas menteri besar Kedah itu memberitahu pihaknya boleh memahami keperluan untuk mendapatkan permit polis bagi aktiviti seperti ceramah.

Bagaimanapun, katanya, syarat parti bertanding perlu memohon permit untuk sesi lawatan dari rumah ke rumah adalah tidak wajar, malah dianggapnya sebagai ekstrem.

"Saya ingat sehingga pilihan raya umum (PRU) ke-14 Malaysia tak pernah ada lagi peraturan sampai sebegini.

"Kita nak pergi melawat rumah saja. (Misalnya) macam hari ni saya ada kesempatan nak jalan (ziarah) di enam buah rumah, apa yang nak (buat)? Mesti melaporkan? Mintak kebenaran?

"Saya ingat terlampau ketat dan tak masuk akal," katanya.

Terdahulu SPR menyatakan semua parti dan calon yang bertanding dalam PRK Tanjung Piai perlu mendapat permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) walaupun untuk membuat kunjungan dari rumah ke rumah.

Lihat dari segi undang-undang

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata hal itu kerana aktiviti sedemikian juga sebahagian daripada kempen bergerak, perlu mempunyai tempoh masa dan lokasi yang jelas bagi tujuan pemantauan.

Seorang lagi Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob, berkata mendakwa SPR menampakkan agensi itu sebagai badan yang dikuasai kerajaan ketika ia sepatutnya berkecuali.

"Apa yang nak dilakukan SPR mestilah berdasarkan undang-undang dan akta. Jadi saya tidak faham kenapa perkara seperti ini timbul di Tanjung Piai.

"Adakah kerana PH nampak mereka berdepan jalan sukar untuk menang (hingga) akhirnya SPR membantu mereka untuk menyusahkan parti-parti pembangkang seperti BN?" katanya.

Ismail Sabri yang juga ketua pembangkang menambah sepatutnya dalam PRK semua pihak diberikan layanan sama serta adil oleh SPR.

Bagaimanapun beliau berkata, peraturan baru itu tidak akan mematahkan semangat BN untuk memenangkan calon mereka, Wee Jeck Seng.

Ismail Sabri juga berkata, BN sedang meneliti syarat baru itu dari segi undang-undang.

"Walaupun tidak sekarang, tapi kita melihat dari segi kemungkinan mencabar tindakan SPR tersebut," katanya.

Lihat Komen
ADS