Malaysiakini
BERITA

Alhamdulillah, insya-Allah di lidah Wee ke hati pengundi

Ramieza Wahid

Diterbitkan
Dikemaskini 12 Nov 2019, 1:35 tengahari

ULASAN TG PIAI | Memang ceramah-ceramah BN mendapat sambutan hangat daripada orang ramai kalau ia diukur dengan jumlah kehadiran pada majlis berkenaan.

Sesuai dengan matlamat ceramah itu adalah untuk memenangkan BN, program tersebut tentu menampilkan calon pembangkang, iaitu Ketua MCA Tanjung Piai, Wee Jeck Seng.

Dan di sana ada 'produk' istimewa yang dibawa calon berbangsa Cina itu. Dalam ceramahnya, bekas anggota parlimen Tanjung Piai selama dua penggal itu lihai membeli jiwa pendengar Melayu.

Beliau akan mengulang-ulang dua kalimah yang memang langka dilafazkan oleh orang bukan Islam, dan melibatkan ungkapan khusus "Allah" iaitu "alhamdulillah" dan "insya-Allah".

Kedua-dua kalimah itu adalah dalam bahasa Arab yang masing-masing bermaksud "segala puji buat Allah" dan "dengan izin Allah".

Berikut adalah antara kata-kata Wee yang berjaya menawan hati pengundi Melayu Tanjung Piai:

  • “Jika Wee Jeck Seng menang, insya-Allah saya akan bantu rakyat di Tanjung Piai."
  • “Alhamdullilah, syukur kerana saya diberi peluang untuk berucap."

Setiap kali ucapan itu dilafazkan, tepukan gemuruh serta sorakan dapat didengar dengan jelas. Pengundi nampaknya terpukau dengan kemampuan Wee menutur bahasa Melayu dengan fasih.

Habis sahaja ceramah, mak cik-mak cik dan pak cik-pak cik yang mengikuti majlis itu mula berbisik sesama sendiri dan sebahagian mereka menyatakan rasa kagum terhadap Wee.

Masa untuk balas jasa

Boleh dikatakan itulah modal Wee sepanjang tempoh berkempen di Tanjung Piai. Ia dapat difahami kerana matlamat setiap calon ialah menarik seramai mungkin sokongan pengundi.

Dari Pontian ke Pekan Nanas, hingga ke Kukup, Wee kerap menggunakan dua perkataan itu dalam setiap ucapannya.

Tidak ketinggalan, Wee cuba meraih sokongan pengundi Melayu dengan menceritakan beberapa jasanya yang sempat ditabur sewaktu menjadi ahli parlimen Tanjung Piai.

Misalnya, beliau membantu menerbangkan 10 warga emas terpilih untuk mengerjakan umrah. Jumlah itu dijanjikan bakal bertambah jika Wee kembali mengisi kerusi yang kosong ekoran kematian penyandangnya, Allahyarham Md Farid Md Rafik pada 21 Sept lalu.

Tinjauan Malaysiakini juga mendapati rata-rata orang Melayu Tanjung Piai masih berasa terhutang budi kepada Wee dan PRK ini adalah masa untuk mereka membalas jasanya.

Untuk rekod daripada lebih 53,000 pengundi berdaftar di Tanjung Piai, kira-kira 57 peratus adalah Melayu, manakala 42 peratus lagi masyarakat Cina.

PH meletakkan calon dari Bersatu, Karmaine Sardini, untuk cuba mempertahankan kerusi berkenaan daripada dirampas pembangkang yang turut mendapat sokongan kuat PAS.

Turut bertanding ialah calon Berjasa, Badrulhisham Abdul Aziz, Wendy Subramaniam (Gerakan), dan dua calon bebas iaitu Ang Chuan Lock serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar.


RAMIEZA WAHID ialah wartawan Malaysiakini yang sedang membuat liputan di Tanjung Piai.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.