Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

PRK TG PIAI | Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki malam tadi menyelar Pakatan Harapan (PH) kerana mendakwa gabungan itu memainkan isu perkauman di Tanjung Piai.

Berucap di hadapan 500 orang di Pekan Nanas, Tanjung Piai malam tadi, Asyraf berkata pemimpin PH harus sedar bahawa di zaman ini, rakyat tahu apa yang mereka perkatakan walaupun berlainan bahasa.

"Ada menteri dalam cerita Doraemon, dia nampak macam Nobita.

"Dia cakap Mandarin dengan orang-orang Cina, dia ingat zaman sekarang orang tak boleh terjemah (apa yang dia kata).

"Dia cakap penuh dengan rasis dan chauvinis. Dia mengapi-apikan perkauman, dia meremehkan penjawat-penjawat awam," katanya.

Ketua Pemuda Umno itu dipercayai merujuk kepada dakwaan bekas Perdana Menteri Najib Razak bahawa Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengugut untuk menahan gaji penjawat awam sekiranya mereka tidak mengundi PH pada PRK Tanjung Piai.

Lim bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Sementara itu, Asyraf dalam ucapannya berkata, kaum Cina dan India tidak boleh dianggap sebagai pendatang.

"Orang Melayu dah terima rakan-rakan kita. Jangan kata mereka ni pendatang, mereka bukan pendatang. Sudah ada di sini tiga hingga empat generasi, terima dengan penuh kasih sayang, ini tanah mereka juga," katanya.

Bagaimanapun beliau berkali-kali dalam ucapannya berkata bahawa orang Melayu adalah teras-bangsa di negara ini.

Presiden MCA pula persoal laporan UEC

Sementara itu, dalam satu kenyataan berbahasa Cina malam tadi, Presiden MCA Wee Ka Siong mempersoalkan bilakah PH akan membentangkan laporan mengenai Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC). 

Kenyataan itu bagaimanapun tidak dikeluarkan dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.

UEC adalah isu utama bagi masyarakat Cina yang mahu sijil itu diiktiraf bagi memasuki universiti awam dan pekerjaan di sektor awam.

Pemimpin Umno termasuk Asyraf sendiri menentang pengiktirafan terhadap UEC.

Wee berkata, Mahathir dan PH menaburkan banyak gula-gula pilihan raya di Tanjung Piai namun tertanya-tanya bilakah laporan UEC akan dibentangkan.

"Walaupun dia terdesak untuk memenangi pilihan raya kecil itu, adakah laporan UEC itu akan diumumkan?

"Laporan itu sepatutnya diumumkan pada bulan Julai, kemudian bulan Oktober, November. Semua orang kata akan ada berita baik semasa pilihan raya kecil ini.

"Tapi akhirnya, Mahathir tidak mahu umumkan laporan UEC itu. Sebaliknya, dia akan mengagihkan wang dan gula-gula di kawasan tertentu," kata Presiden MCA itu.

Wee berkata rekod menunjukkan Mahathir melayan orang Cina sebagai pendatang, dan melabelkan kumpulan pendidikan Cina Dong Zong sebagai bersifat perkauman.

Pengiktirafan UEC merupakan salah satu daripada janji-janji manifesto pilihan raya PH.

Satu pasukan petugas khas yang ditubuhkan mengenai perkara itu sepatutnya menyerahkan laporan pada akhir bulan Oktober.

Bagaimanapun Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata kementerian itu masih belum menerima laporan penuh daripada jawatankuasa UEC.


Lihat Komen
ADS