Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Skandal 1MDB: 13 Dis keputusan lucut hak RM15 juta wang Umno Kedah

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 13 Disember untuk keputusan permohonan pihak pendakwaan bagi melucut hak ke atas wang berjumlah RM1,054,019.22 yang disita daripada Badan Perhubungan Umno Kedah.

Dalam penghujahan oleh Timbalan Pendakwa Raya Abdul Rashid Sulaiman di depan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazal, mahkamah diberitahu sebahagian daripada RM15 juta yang disalurkan ke akaun bank Umno Kedah oleh bekas perdana menteri Najib Razak beberapa tahun lalu adalah dari Tanore Finance Corporation.

Katanya, enam cek berjumlah RM15 juta itu diberikan kepada Umno Kedah antara April 2012 dan Jun 2013 adalah hasil daripada kegiatan haram.

Berikut ialah enam cek yang diterima Umno Kedah - RM1 juta (diterima pada 25 April 2012); RM1 juta (6 Jun 2012); RM2 juta (10 Jan 2013); RM5 juta (6 Mac 2013); RM5 juta (5 April 2013) dan RM1 juta (19 Jun 2013).

Abdul Rashid berkata sebahagian transaksi itu berlaku selepas Najib menerima RM2.08 bilion yang disalurkan ke akaun peribadinya daripada Tanore, antara 22 Mac 2013 dan 10 April 2013.

“Adalah tidak wajar untuk seorang perdana menteri menerima wang dalam jumlah yang begitu besar dalam akaun milik peribadi.

“Ia untuk tujuan politik, namun timbul persoalan di mana dapat wang itu (walaupun) tiada undang-undang yang menghalang responden daripada terima wang," katanya.

Abdul Rashid membangkitkan kesahan sumber dana daripada Najib ketika bekas perdana menteri itu sendiri berdepan dengan sejumlah dakwaan berhubung kes 1MDB-Tanore di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Activiti Haram 2001 (Amla).

Sementara itu, peguam yang mewakili Umno Kedah, G Nadaraja berhujah bahawa wang yang diberikan kepada anak guamnnya telah habis dibelanjakan pada 2014.

“Semua wang telah digunakan, tidak ada lagi baki. Pada 2017 dan 2018, Umno Kedah menerima sumbangan pihak luar berjumlah RM28.

“Tidak ada kaitan untuk pemohon mengaitkan baki wang dengan kegiatan haram," katanya.

Nazlan kemudian menetapkan 13 Disember untuk keputusan kes itu.

Terdahulu, Nazlan menolak permohonan Umno Kedah agar beliau menarik diri daripada mendengar saman pelucuthakan SPRM.

Nazlan yang turut mengendalikan kes SRC International Sdn. Bhd dan memutuskan agar Najib membela diri, berkata saman pelucuthakkan berkaitan 1MDB tidak ada kena-mengena dengan perbicaraan SRC.

“Saya dapati responden gagal menunjukkan risiko berpihak (untuk saya mendengar kes itu).

“Saya akan teruskan dengan perbicaraan (saman pelucuthakkan terhadap Umno Kedah),” katanya selepas mendengar penghujahan bantahan awal daripada Umno Kedah.

Nadaraja berkata wujud risiko berpihak yang nyata bagi Nazlan mendengar saman pelucuthakkan itu kerana beliau ada akses terhadpa dokumen dan bukti untuk kes SRC.

Umno Kedah merupakan antara 41 entiti yang dihadapkan saman pelucuthakan SPRM yang bertujuan mendapatkan semula RM270 juta yang dikatakan berasal daripada 1MDB.

Saman itu menyasarkan RM1,054,019.22 daripada Umno Kedah.

Turut hadir di mahkamah ialah Timbalan Pendakwa Raya SPRM Allan Suman Pillai dan peguam R Hanita, yang mewakili Kedah Umno.

SPRM sebelum ini berkata pihaknya telah memfailkan saman perlucuthakan sivil terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) berikutan SPRM percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank Najib.

Lihat Komen
ADS