Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Permit kempen: Rungutan Ismail Sabri tiada merit - SPR
Diterbitkan:  Nov 13, 2019 10:53 PM
Dikemaskini: 2:55 PM

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Harun berkata beliau sedia untuk menjawab sebarang tuduhan terhadapnya di Parlimen berhubung isu permit kempen di PRK Tanjung Piai.

Bagaimanapun beliau berkata rungutan yang dibangkitkan ketua pembangkang Ismail Sabri Yaakob adalah tidak berasas.

"Tuduhan terhadap saya oleh Ismail Sabri tiada merit dan mencerminkan 'minda terkepung' (siege mentality) oleh sesetengah ahli politik yang mahu mendapatkan simpati.

"Cadangannya agar saya menasihati polis dalam perkara di bawah bidang kuasa polis adalah membingungkan.

"Adakah dia tidak pernah dengar prinsip undang-undang pentadbiran yang menghalang penjawat awam daripada bertindak ultra vires (melangkaui bidang kuasa yang digariskan oleh undang-undang)?

"Jika tidak, mungkin ketika mendapat nasihat perundangan untuk menyaman SPR, dia juga patut mendapat nasihat perundangan berkenaan doktrin ultra vires," katanya dalam kenyataan.

Terdahulu hari ini, Ismail Sabri berkata pembangkang akan memfailkan usul di Dewan Rakyat bagi membahaskan syarat baru yang dikenakan untuk kegiatan kempen di PRK Tanjung Piai.

Selain itu, katanya, mereka juga akan membuat cabaran undang-undang terhadap peraturan itu, yang antara lain menyatakan permit polis diperlukan untuk kempen dari rumah ke rumah.

Azhar dalam kenyataan semalam berkata undang-undang menyatakan permit polis diperlukan untuk semua ceramah.

Untuk PRK Tanjung Piai, katanya, polis memutuskan untuk mengenakan peraturan baru iaitu permit untuk tinjauan mesra (walkabout) dan kempen di rumah.

NGO Bersih hari ini turut menggesa SPR menolak syarat yang diputuskan polis itu, dengan membangkitkan Perkara 115(2) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan pihak berkuasa awam perlu memberi bantuan kepada SPR jika diminta oleh suruhanjaya itu.

Bagaimanapun, Azhar berkata beliau perlu menegakkan undang-undang dan tidak masuk campur dalam tugas polis untuk menjaga ketenteraman awam.

"Salah di sisi undang-undang bagi SPR untuk meminta mana-mana pihak melanggar arahan polis dalam menjalankan kuasa yang diberikan kepada mereka oleh undang-undang.

"Saya tegaskan SPR tidak akan masuk atau menceroboh ke dalam biadang kuasa mana-mana institusi, terutama polis," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS