Paling Popular
Terkini

Di depannya jalan balak bertanah merah sejauh 46km, selain jalan bertar 55km. Di sekelilingnya hutan tebal dengan haiwan liar termasuk ular dan babi hutan.

Dengan sebuah motosikal kapcai, Cikgu Zahir terpaksa mengharungi semua itu secara keseorangan untuk ke Sekolah Kebangsaan Nanga Entalau, Lubok Antu, Sarawak.

Honda Wave 110s yang ditungganginya itu ternyata banyak membantunya selama lima tahun berulang-alik dari Sri Aman, beberapa kali seminggu.

Dari rumah ke Nanga Entalau, terdapat tiga pilihan laluan - iaitu 90km dan dua lagi laluan masing-masing 101km dan 96km.

Cikgu Zahir atau nama penuhnya Muhammad Zahiruddin Kusini memilih laluan paling jauh kerana laluan 96km telah putus dan tidak dibaiki.

“Jalan putus, menunggang sewaktu malam, pernah sesat di dalam hutan dan diselamatkan dan tiba di rumah sewa pada pukul 1 pagi antara peristiwa yang saya tempuhi,” kata Cikgu Zahir melalui perkongsian di Facebook Cikgu Emmet.

Laluan ke sekolah menggunakan perahu

Beliau satu-satu guru dari semenanjung yang mengajar di SK Nanga Entalau.

Anak kelahiran Kuala Selangor itu telah berkhidmat sebagai guru selama enam tahun. Bapa seorang anak itu merupakan graduan IPG Kampus Pendidikan Teknik di Nilai, Negeri Sembilan.

SK Ng Entalau merupakan sekolah pertamanya.

Tergolek di jalanan perkara biasa ketika jalan basah

Ketika dihubungi Malaysiakini, Cikgu Zahir berkata antara pengalaman sukarnya ialah ketika berdepan darurat jerebu yang melanda Sarawak baru-baru ini.

Ketika itu, bukan sahaja jauh, dia terpaksa berulang-alik dalam keadaan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi bacaan 400.

“Oleh kerana perjalanan ke sekolah perlu melalui lereng-lereng bukit yang tinggi.

“Ia sudah tentu berisiko dengan debu tebal kerana tidak hujan ditambah pula dengan jerebu di udara,” kata guru 29 tahun itu.

Sementara itu, Cikgu Zahir berkata, di balik segala liku yang dihadapi, beliau gembira dengan penerimaan masyarakat Iban di kawasan tersebut.

Lihat Komen
ADS