Paling Popular
Terkini

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sivarasa Rasiah berkata penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) akan tetap diteruskan bermula 1 Januari tahun depan di lima negeri pembangkang, iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis dan Sarawak.

Ini di samping kewujudan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) yang sedia ada di negeri-negeri berkenaan.

Jelas Sivarasa (PH - Sungai Buloh), keputusan itu diambil memandangkan PH berpendapat MPKK dan JKKK di negeri terbabit tidak akan mampu berfungsi dengan baik untuk menyampaikan maklumat tentang dasar dan program kerajaan kepada rakyat.

“Keputusan itu dibuat selepas usaha lebih setahun (sejak PRU-14) mencuba sistem (MPKK dan JKKK) di negeri-negeri ini, tapi kita lihat memang kita alami kesusahan, cabaran dan halangan besar untuk pastikan maklumat yang lengkap tentang program dan dasar kerajaan pusat [...]

“Kita dah bagi peluang, kita dah cuba setahun lebih (sejak PRU-14) untuk lihat struktur itu boleh berfungsi untuk semua pihak. Tapi kita dapati tak menjadi.

“Sebab itu kita buat keputusan ini, dan keputusan ini bukan di peringkat kementerian, tetapi di peringkat jemaah menteri. Semua sudah duduk berbincang, dan inilah keputusannya, kita akan tubuhkan MPKKP,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat malam tadi setelah perkara berkenaan dibangkitkan oleh beberapa wakil rakyat.

Mengambil contoh pekeliling yang dikeluarkan oleh setiausaha kerajaan negeri Sarawak tahun lalu yang melarang anggota JKKK untuk menghadiri program anjuran wakil rakyat PH, Sivarasa berkata kerajaan memerlukan satu saluran baru untuk menyampaikan maklumat dan dasar kerajaan.

Pekeliling berkenaan dikeluarkan Oktober tahun lepas yang menyatakan bahawa ketua masyarakat tidak dibenarkan menyertai majlis dan program yang bukan anjuran kerajaan negeri atau badan yang diluluskan kerajaan negeri.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Amar Douglas Uggah Embas dilaporkan berkata pekeliling itu hanyalah tindak balas terhadap surat dari KPLB (Kementerian Pembangunan Luar Bandar) bertarikh 17 Mei 2018 yang menggantung semua bayaran yang melibatkan pelantikan, perpindahan dan elaun JKKK.

Untuk rekod, penggantungan bayaran tersebut tidak hanya berlaku di Sarawak, tetapi di setiap negeri, dan disambung semula Oktober tahun lalu.

Ketika Sivarasa berkata demikian, beberapa anggota parlimen dari Sarawak, antaranya Kota Samarahan (GPS) dan Sibuti (GPS) mencelah meminta kerajaan mempertimbangkan semula keputusan itu dan berbincang dengan kerajaan negeri Sarawak.

Kata mereka, penubuhan MPKKP hanya akan menyebabkan kekeliruan dalam kalangan rakyat, lebih-lebih lagi di Sarawak yang mempunyai ketua-ketua kaum dan masyarakat yang tersendiri.

Bagaimanapun, jelas Sivarasa, perkara itu telah dilakukan sejak tahun lepas, namun tidak membuahkan hasil.

“Kita dah cuba berunding, tahun lepas saya sendiri dah merayu kepada mereka (Sarawak) untuk tarik balik, tetapi sampai sekarang tak ditarik balik (pekeliling).

“Saya sendiri ada jumpa menteri yang berkenaan, menteri KPLB (Rina Harun) pun bangkitkan isu ini. Tapi kita tak dapat selesaikan,” jelasnya lagi.

Malah, katanya lagi, MPKKP bukanlah perkara baru, kerana ia juga telah ditubuhkan di beberapa negeri pembangkang semasa pentadbiran BN sejak 2008, contohnya di Selangor dan Pulau Pinang.

“Sekarang kita tak ada pilihan (selain) untuk laksanakan itu,” katanya.

Sementara itu, dewan sedikit meriah di hujung penggulungan Sivarasa apabila beberapa anggota parlimen bangkit menuntut agar kementerian yang berjanji untuk “memberikan jawapan secara bertulis” mengotakan janji itu, termasuklah KPLB.

Hal itu mula-mula dikeutarakan Dr Santhara (PH-Segamat) apabila Sivarasa menamatkan penggulungannya dengan berjanji untuk memberikan jawapan bertulis kepada anggota parlimen yang soalannya tidak sempat dijawab.

“Saya hanya minta jawapan bertulis itu diberikan, tetapi tetapkan masa, sebab saya tak nak tunggu sampai belanjawan tahun depan pun tak dapat. Sebab ada yang saya minta tahun lepas pun tak dapat (jawapan bertulis)," kata Santhara.

Sejurus selepas itu, beberapa anggota parlimen bangun menyatakan “setuju! setuju!” terhadap kenyataan Santhara melalui pembesar suara masing-masing.

Hal itu menyebabkan Sivarasa berjanji untuk menyampaikan jawapan bertulis sebelum sesi mesyuarat Dewan Rakyat sesi kali ini berakhir.

“Speaker, setakat ini jawapan bertulis kita cuma terima daripada kementerian kesihatan. Yang lain kementerian belum ada lagi YB,” adu Dr Ronald Kiandee (PH- Beluran) kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming.

Kejadian tersebut menyebabkan Nga memberikan nasihat ringkas buat semua kementerian, betul-betul sebelum sidang tamat.

“Yang baik dijadikan teladan. Yang buruk dijadikan sempadan.

“Ini contoh yang baik- jawapan bertulis akan dibekal sebelum akhir mesyuarat sesi kali ini. Syabas dan tahniah saya ucapkan. Kita harap kementerian yang lain akan membuat keputusan yang sama,” nasihat Nga sebelum mengakhiri sidang Dewan Rakyat.

Lihat Komen
ADS