Paling Popular
Terkini

PRK TG PIAI | Entah berapa kerat saja orang yang mengenali Faridah Aryani Abdul Ghaffar ketika nama seperti Wee Jeck Seng dan Karmaine Sardini menjadi sebut-sebutan pada jam-jam terakhir sebelum pengundian bermula esok.

Wee ialah calon yang dipertaruhkan pembangkang di kawasan majoriti Melayu itu, manakala Karmaine dipilih PH dalam usaha mereka mempertahankan kerusi dimenangi Allahyarham Md Farid Md Rafik pada 9 Mei tahun lalu.

Namun Faridah sebenarnya mewakili satu kelompok tersendiri, iaitu kumpulan Gabungan Teksi Semalaysia (GTSM).

Dia memperkenalkan dirinya sebagai juruaudit sosial di Kuala Lumpur dan lahir di Johor Bahru. Faridah juga merupakan ibu tunggal kepada empat orang anak.

Dalam tinjauan Malaysiakini didapati kumpulan pemandu teksi menunjukkan minat kepada calon bebas itu dan menyatakan sokongan kepadanya.

Manat Kasdi.

Manat Kasdi, misalnya, berkata dia tertarik kepada Faridah kerana berasa akhirnya ada calon yang tampil untuk membela nasib kumpulan pemandu teksi di negara ini.

“Selalunya kami ni - pemandu teksi - jarang orang nak tengok sebab nampak macam isu kecil, orang pun tak kisah.

"Kali ni ada calon yang mewakili kami, saya agak tertarik untuk undi dialah,” katanya yang berusia 80 tahun itu ketika ditemui di salah sebuah warung berhampiran Kukup.

Khairul Syed Atan.

Bagi Khairul Syed Atan, 60, yang ditemui ketika menunggu pelanggan di terminal feri Kukup, dia turut berasa teruja apabila mendengar berita ada calon mewakili pemandu teksi bertanding.

“Itulah ada dengar dan teruja juga, saya nak undi dialah,” katanya yang merupakan penduduk di Pekan Nanas.

Rakan Khairul yang turut hadir disitu dan hanya mahu dikenali sebagai Azmi berkata, Faridah adalah antara calon terbaik bagi membawa suara mereka sebagai pemandu teksi.

“Kami susah nak sampaikan suarakan kerana tak cukup ramai, yang bawa teksi dalam 100 orang lebih saja, ramai sudah cari kerja lain kerana tak boleh 'jalan' dekat sini.

“Kalau kami undi dia, jadi mungkinlah boleh bantu kami,” katanya yang sudah memandu teksi seawal usia 27 tahun.

Dalam sidang media beberapa hari lalu Faridah memberitahu pendekatannya adalah untuk meningkatkan ekonomi rakyat golongan berpendapatan rendah, atau sekarang banyak disebut sebagai B40.

Jelasnya, selain pemandu teksi, nelayan dan penoreh getah juga antara golongan rakyat yang akan dibantu sekiranya dia memenangi PRK Tanjung Piai Sabtu ini. 

Mohd Rozali Haris, 68, pula berpendapat calon dari GTSM itu memang sangat sukar untuk menang walaupun niatnya mungkin dilihat baik.

Jelasnya, dengan kehadiran calon dari parti dominan seperti BN dan PH , Faridah bakal mempunyai masalah untuk meraih undi rakyat.

“Dia memang bagus, nak bela nasib pemandu teksi tetapi kita kena tengok, ada BN ada PH. Dia susah nak menang,” katanya yang sudah membawa teksi selama lebih 10 tahun.

Ahmad Jantan.

Ahmad Jantan, 86, juga mengakui hal itu. Baginya mustahil untuk Faridah memenangi kerusi Tanjung Piai kerana dia bukan calon dari mana-mana parti utama.

“Rakyat sekarang susah nak percaya calon bebas. Bukan takut cuma mereka bukan dari calon parti besar dan susah nak dapat sokongan," katanya yang sudah menjadi pemandu teksi selama 50 tahun.

PRK Tanjung Piai diadakan selepas penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik, 42, meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lalu.

Selain Faridah ada lima lagi calon lain yang mencuba nasib untuk menjadi anggota parlimen di situ, iaitu Wee Jeck Seng dari BN, Karmaine Sardini (PH), Wendy Subramaniam (Gerakan), Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) dan Ang Chuan Lock.

Lihat Komen
ADS