Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kekeliruan di Dewan Rakyat isu permit kempen rumah ke rumah

PRK TG PIAI | Dewan Rakyat hari ini dilanda kekeliruan berhubung isu keperluan permit kempen rumah ke rumah dalam pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai.

Isu yang menjadi hangat selepas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun membuat pengumuman tentang permit yang ditetapkan polis itu, kini mengundang tanda tanya adakah ia sebenarnya akan terus dikuatkuaskan atau tidak.

Ini susulan jawapan yang membawa konotasi berbeza daripada jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Liew Vui Keong dan kenyataan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming semasa sesi pagi tadi.

Dalam jawapannya pagi tadi, Liew menjelaskan keperluan permit kempen rumah ke rumah telah diterangkan sejak hari penamaan calon lagi (2 November), disusuli beberapa penekanan selepas itu, dan bukannya dibuat saat akhir seperti dakwaan sesetengah pihak.

Biarpun mengakui keperluan itu tidak ada dalam lapan PRK lalu, Liew berkata polis mempunyai kuasa tersirat untuk menetapkan syarat permit itu di bawah Seksyen 40 Akta Tafsiran 1948/1967 (Akta 388) iaitu pihak berkuasa yang mengeluarkan permit boleh mengenakan syarat-syarat yang munasabah, termasuklah atas pertimbangan ketenteraman dan keselamatan.

Bagaimanapun, ketika Noh Omar (BN- Tanjung Karang) bangkit membacakan peraturan mesyuarat meminta usulnya dibincangkan atas “kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan”, Nga pula memberikan kenyataan bernada berbeza daripada Liew.

Dakwa Nga, Menteri Dalam Negeri (Muhyiddin Yassin) telah “memberikan jawapan bahawa polis tidak akan menguatkuasakan peraturan tersebut”.

Bagaimanapun, berdasarkan semakan, kenyataan Muhyiddin semalam di Tanjung Piai sekadar menyatakan harapan agar polis dapat "melonggarkan" keperluan permit kempen rumah ke rumah untuk PRK itu.

Usul batalkan keperluan permit ditolak

Terdahulu, usul yang dibawa Noh agar penetapan permit itu dibatalkan ditolak Dewan Rakyat.

Kata Noh, kempen rumah ke rumah tidak ada disebut dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya, maka ia sepatutnya dianggap sebagai acara peribadi antara tuan rumah dan ejen kempen.

Nga dalam ucapannya, berkata usul itu ditolak kerana tidak menepati syarat peraturan mesyuarat dan menambah, fakta yang dikemukakan Noh juga sebenarnya silap kerana arahan permit itu bukanlah datang dari SPR tetapi polis.

Noh, kemudian memetik surat yang diterimanya daripada YDP, berbunyi: “selain itu saya juga difahamkan oleh pihak kerajaan bahawa polis tidak akan menguatkuasakan peraturan ini”.

“Adakah speaker boleh beri jaminan, bahawa mulai sekarang, peraturan baru ini tidak dikuatkuasa sewaktu PRK sedang berjalan di Tanjung Piai. YB Speaker kena umumkan dalam dewan.

“Kalau speaker berani umumkan polis akan tarik balik dan tak kuasakakan, kita bersetuju,” katanya.

Menjawab desakan Noh, Nga kemudian berkata dia tiada kuasa memberi arahan kepada polis selaku timbalan YDP Dewan Rakyat.

“Yang boleh keluarkan arahan ialah Menteri Dalam Negeri, dan menteri dah berikan jawapan bahawa pihak polis tidak akan kuatkuasakan peraturan, dan SPR tak pernah keluarkan peraturan tersebut.

“Maka isu itu tidak timbul,” katanya sebelum memulakan perbahasan.

Terdahulu, berdasarkan jawapan Liew, setakat semalam, 101 permit kempen rumah ke rumah telah diluluskan, dan daripada itu, 42 permit diluluskan polis sejak hari pertama kempen lagi, sebelum isu itu berbangkit sejak beberapa hari lalu.

Susulan kenyataan Azhar pada 12 November yang memberi peringatan bahawa semua pihak bertanding perlu mendapatkan permit polis untuk kempen rumah ke rumah, beberapa pihak menyatakan bantahan mereka, baik dari blok kerajaan mahupun pembangkang.

Malah, badan pemantau pilihan raya, Bersih 2.0 juga mengkritik langkah itu dan meminta polis agar tidak “melampaui batasan” yang ditetapkan Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Lihat Komen
ADS