Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tabung Amanah Beng Hock bangkitkan isu rasuah koroner
Diterbitkan:  Nov 14, 2019 3:32 PM
Dikemaskini: 7:32 AM

NGO Tabung Amanah Teoh Beng Hock Untuk demokrasi (TBH Trust) menyatakan rasa terkejut berhubung tuduhan rasuah yang dikenakan terhadap koroner dalam inkues kematian Teoh Beng Hock pada 6 Nov lalu.

Ini selepas bekas hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, Azmil Muntapha Abas, 45 yang kini bertugas sebagai pegawai undang-undang di Kompleks Mahkamah Putrajaya didakwa menerima rasuah berjumlah RM17,500 sebagai dorongan untuk menjatuhkan hukuman lebih ringan kepada tujuh pendatang tanpa izin yang didakwa di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

"Tuduhan rasuah ini menunjukkan integriti Azmil Muntapha Abas dipersoalkan, dan menimbulkan keraguan tentang sama ada terdapat pengaruh tidak wajar dan faedah kewangan dalam kes-kes sebelum ini yang diputuskan beliau, termasuk inkues ke atas kematian Teoh Beng Hock pada tahun 2009," kata Pengerusi TBH Trust, Ng Geok Chee dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan inkues berkenaan membuat kesimpulan pada tahun walaupun koroner mengakui terdapat kecederaan pada leher Teoh Beng Hock.

"Keputusan itu kemudiannya ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 5 Sept 2014, yang menyatakan seorang atau lebih individu tak dikenali menyebabkan kematian Teoh.

"Oleh itu, TBH Trust menggesa kerajaan menjalankan siasatan terperinci terhadap pengaruh tidak wajar dan faedah kewangan yang terlibat dalam inkues kematian Teoh Beng Hock," katanya.

Ng menggesa pihak polis membuka semula siasatan ke atas kematian Teoh untuk menyiasat semua petunjuk yang ada dan individu utama terlibat dalam kes itu - termasuk pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pegawai polis, koroner, pakar patologi dan lain-lain.

"Kami menuntut polis melihat laporan polis yang dibuat oleh kami beberapa bulan yang lalu dan menyiasat 10 pegawai SPRM di bawah kes bunuh," katanya.

Selasa lalu Polis Selangor memanggil Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah sebagai sebahagian daripada siasatan semula berhubung kematian Beng Hock.

Pihak polis juga memberitahu Malaysiakini bahawa mereka telah menerima arahan daripada Pejabat Peguam Negara untuk membuka semula kes berkenaan.

Pada 2016, Jabatan Peguam Negara mendapati tiada unsur jenayah dalam kematian Teoh yang juga merupaka pembantu kepada Yong.

Teoh ditemui mati pada 16 Julai 2009 selepas terjatuh dari tingkat sembilan Plaza Masalam, yang menempatkan ibu pejabat lama SPRM Selangor di Shah Alam, di mana beliau ditahan semalaman untuk disoal siasat.

Lihat Komen
ADS