Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu jemputan Azmin ditarik balik: Pemimpin AMK saling tuduh-menuduh
Diterbitkan:  Nov 14, 2019 5:14 PM
Dikemaskini: 11:18 AM

Kontroversi pembatalan surat jemputan kepada Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali merasmikan Kongres Tahunan Pemuda PKR (AMK) 2019 diheret ke isu teknikal selepas kedua-dua pihak saling tuduh-menuduh antara satu sama lain.

Naib Ketua Pemuda PKR (AMK) Syed Badli Shah Syed Osman mendakwa bahawa pihak Azmin tidak membalas surat jemputan selepas lebih sebulan dihantar.

"Sepertimana kelaziman, AMK telah menghantar surat rasmi pada 11 September 2019 untuk menjemput Timbalan Presiden YB Mohamed Azmin Ali bagi merasmikan Kongres AMK.

"Namun sehingga ke tarikh mesyuarat bulanan Majlis Pimpinan AMK pada 20 Oktober yang lalu, pihak sekretariat memaklumkan tidak menerima sebarang jawapan rasmi dari pihak timbalan presiden," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Setiausaha Politik Azmin, Muhammad Hilman Idham menafikan dakwaan Azmin tidak membalas surat jemputan sebagai satu pembohongan.

"Kalau Azmin tak jawab undangan, buat apa buat surat batalkan? Itu tandanya pembohong," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, tengah hari tadi, Azmin mendakwa bahawa wujud tangan ghaib di belakang keputusan membatalkan jemputan beliau untuk merasmikan Kongres AMK.

Azmin Ali

Azmin turut mengatakan bahawa dia yakin bahawa Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir tidak mempunyai keberanian untuk membatalkan jemputan tersebut secara sendiri.

Mengulas kenyataan Azmin yang menyifatkan Ketua AMK Akmal Nasir sebagai lemah dan seolah-olah dikawal tangan ghaib, Syed Badli menyifatkan ia sebagai dangkal dan tidak seharusnya dikeluarkan oleh timbalan presiden.

"Sebagai timbalan presiden beliau tetap mempunyai ruang tersendiri dalam kongres nasional parti untuk mengutarakan pandangan.

Tambahnya, tradisi timbalan presiden parti merasmikan kongres AMK sekadar makluman tiada sebarang peraturan mengikat kemestian.

"Jemputan kepada timbalan presiden untuk merasmikan kongres hanyalah tradisi dan ini bukanlah kali pertama AMK menjemput perasmi selain timbalan presiden," jelasnya.

"Justeru itu saya dengan rasa rendah diri selaku salah seorang pimpinan kanan AMK ingin menjemput Azmin Ali untuk turut hadir Kongres AMK bagi memberikan penghormatan kepada mantan presiden parti merangkap timbalan perdana menteri," tambahnya lagi.

Suasana dalam Kongres AMK sebelum ini

Sementara itu, Syed Badli mengesahkan bahawa keputusan untuk menjemput Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dibuat sebulat suara pada mesyuarat bulanan Mesyuarat Majlis Pimpinan AMK Malaysia (MPAMK) yang dihadiri lebih 30 orang ahli Majlis Pimpinan AMK.

"Beliau dijemput atas kapasiti sebagai pengerusi majlis penasihat PKR merangkap timbalan perdana menteri," katanya.

"Saya juga menyeru AMK untuk berhenti berbalah d iatas isu remeh temeh dan kembali fokus kepada agenda utama untuk memantapkan Pakatan Harapan," tambahnya lagi.

Iktiraf Azizah

Sementara itu, kesemua 14 ketua AMK negeri mengeluarkan kenyataan bersama menyokong keputusan menukar Azmin dengan Azizah.

"Kami yakin dan percaya keputusan ini dibuat setelah mesyuarat menimbang tara semua keadaan yang perlu.

"Ini juga merupakan satu pengiktirafan atas segala jasa bakti Dr Wan Azizah selama beliau memimpin Parti Keadilan Rakyat sejak 1998," katanya.

Dr Wan Azizah Wan Ismail 

Menurut lagi, Peraturan Tetap AMK 2014 memberi kuasa kepada Majlis Pimpinan AMK untuk menguruskan sepenuhnya hal ehwal pengurusan Kongres Nasional Tahunan AMK.

"Tidak ada sebarang klausa yang menetapkan atau menghadkan mana-mana individu yang perlu diundang sebagai perasmi, malah mana-mana kepimpinan tertinggi Keadilan boleh diundang untuk merasmikan Kongres AMK," jelasnya.

Hilman bagaimanapun menolak sokongan itu atas alasan “tiada keabsahan politik”.

“Semuanya dilantik oleh Akmal, jadi takut kena pecat, sokonglah Akmal. Bayangkan, ada Ketua AMK Negeri, bertanding di peringkat cabang pun kalah, tapi dilantik jadi ketua AMK Negeri,” katanya.

Beliau menyifatkan ia tidak senada dengan suara yang dilontarkan dalam pemilihan parti sebelum ini.

“Kamu boleh lantik 1,000 orang pun sebagai pemimpin. Tapi kena sedar, 1,000 itu tak mewakili suara ratusan ribu anggota yang memilih dalam pemilihan,” katanya.

Tuding jari pada Saifuddin

Sementara itu, pemimpin-pemimpin AMK Selangor pula, di mana Azmin berpengaruh, tampil membantah perkara itu.

Mereka terus menuding jari kepada Saifuddin Nasution walaupun setiausaha agung PKR itu telah menafikan penglibatannya semalam.

"Kami, selaku pemimpin AMK Cabang Selangor setelah meneliti dan mengambil semangat reformasi maka dengan ini bersetuju menyokong kenyataan media yang dikeluarkan oleh MPAMK bahawa permainan politik kepimpinan tinggi telah menyebabkan parti berada dalam keadaan yang berantakan.

"Kami juga berpendapat bahawa hala tuju pengurusan parti ini telah diterjemahkan dalam bentuk yang salah dan hanya melebarkan jurang pendapat yang terbentuk sejak Pemilihan Keadilan 2018 yang lalu."

"Belajarlah menghormati suara-suara majoriti sayap anak muda seluruhnya dan bukan terhadap mereka yang membuat keputusan-keputusan tidak matang dan bacul tanpa merujuk kepada sentimen akar umbi," kata 16 pemimpin kanan cabang AMK di Selangor.

Saifuddin Nasution 

Kongres AMK 2019 yang akan berlangsung pada 6 Disember 2019 di Melaka.

Perhimpunan tahunan itu secara tradisinya dirasmikan oleh timbalan presiden PKR.

Lihat Komen
ADS