Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malam terakhir kempen, PH dan Najib saling menuduh rasis
Diterbitkan:  Nov 15, 2019 10:50 PM
Dikemaskini: 4:30 PM

PRK TG PIAI | Menjelang hari mengundi PRK Tanjung Piai, Pakatan Harapan (PH) dan Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Najib Razak saling menuduh satu sama lain sebagai bersifat perkauman.

PH melalui kenyataan bersama kesemua parti komponennya, mendakwa Najib memainkan isu perkauman dalam satu ceramah semelam berkenaan Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang berketurunan Cina.

Dalam ceramah itu, bekas perdana menteri itu berkata, "...Satu kesilapan besar yang saya tak boleh setuju (ialah) dia nak buat kongres maruah Melayu, tetapi letak (pemimpin) DAP (jadi) menteri kewangan.

"Di mana letaknya maruah Melayu? Boleh dia jaga maruah Melayu ke tidak?" kata Najib.

“Dalam ucapan ceramahnya malam tadi, bekas perdana menteri yang kini diarahkan oleh mahkamah untuk membela diri atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram, cuba menimbulkan kebencian terhadap kaum Cina dengan mempersoalkan identiti kaum menteri kewangan tersebut.

“Kami ingin mengingatkan Najib bahawa ayahandanya sendiri, Allahyarham Tun Abdul Razak telah melantik Presiden MCA, mendiang Tun Tan Siew Sin sebagai menteri kewangan pada 1970-74. Malah, beliau juga telah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan sejak 1959,” menurut kenyataan itu.

Justeru PH mempersoalkan sama ada pentadbiran Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak boleh dianggap sebagai tidak menjaga maruah Melayu kerana melantik Tan.

Kenyataan tersebut ditandatangani Ketua Setiausaha PH Saifuddin Abdullah, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahaya, Timbalan Setiausaha Agung Amanah Abang Ahmad Kerdee dan Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke.

Mereka berkata kredibiliti menteri kewangan bukan berdasarkan kaum tetapi pada sifat seperti integriti, amanah dan cekap menguruskan kewangan negara.

Najib kemudian membalas dengan berkata beliau tidak pernah menyebut soal kaum dalam ucapannya.

Sebaliknya, Najib berkata beliau merujuk kenyataan Lim ketika Konvensyen DAP Johor pada 3 November lalu.

Dalam kenyataan itu, Lim antara lain berkata kemenangan BN dan MCA dalam PRK Tanjung Piai merupakan tanda sokongan kepada kerjasama Umno dan PAS.

Lim juga berkata falsafah Umno-PAS ialah orang bukan Islam dan Melayu tidak boleh menjadi menteri, sekolah vernakular patut ditutup dan barangan orang bukan Islam perlu diboikot.

Najib berkata rakyat boleh menentukan siapa yang sebenarnya sering memainkan isu perkauman.

“Saya tidak merujuk kepada bangsa Cina atau mana-mana bangsa apabila saya membuat kenyataan bahawa mana letaknya maruah Melayu jika Lim Guan Eng adalah menteri kewangan.

“Untuk maklumat kawan-kawan, mendiang Tun Tan Siew Sin tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang begitu rasis seperti di atas," kata Najib lagi.

Bakal ditentukan esok, PRK Tanjung Piai menyaksikan pertandingan enam penjuru antara PH (Karmaine Sardini), BN (Wee Jeck Seng), Gerakan (Wendy Subramaniam), Berjasa (Badhrulhisham Abdul Aziz) dan dua calon bebas, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Kerusi itu dikosongkan berikutan kematian penyandanganya, Dr Md Farid Md Rafik akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lalu.

Lihat Komen
ADS