Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis minta Interpol kesan 3 warga China ugut guna bom palsu
Diterbitkan:  Nov 16, 2019 4:25 PM
Dikemaskini: 8:25 AM

Polis akan meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) dan beberapa agensi lain bagi mengesan tiga lelaki yang disyaki terlibat mengugut bunuh seorang pengarah syarikat dalam kejadian di Bukit Gambir, di George Town, 5 Nov lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang berkata identiti tiga suspek warga China berusia 30 hingga 50 tahun itu telah dikenal pasti dan polis telah memberikan maklumat mereka kepada pihak Interpol negara asal semua suspek termasuk pihak imigresen.

"Berdasarkan maklumat kami, tiga lelaki itu masuk ke negara ini seminggu sebelum kejadian berkenaan dan motif mereka ke Pulau Pinang memang mahu mendapatkan semula wang pelaburan dengan syarikat tersebut sebelum bertindak mengugut anak kepada pemilik (syarikat) itu.

"Usaha mengesan tiga lelaki itu giat dijalankan dan polis tidak menolak kemungkinan mereka bersembunyi di beberapa negeri kerana tiada maklumat pergerakan (mereka) keluar dari Malaysia, namun jika keluar guna laluan tidak sah, saya tidak dapat pastikan. Sebab itu kita minta tolong Interpol untuk kesan jika suspek telah berada di luar negara," katanya kepada pemberita di George Town, hari ini.

Beliau menafikan tiga lelaki itu mempunyai kepakaran untuk membuat bom buatan sendiri (IED) seperti yang ditinggalkan di rumah mangsa sebaliknya ia palsu dan hanya menyerupai IED jenis dinamit sahaja.

Dalam kejadian 5 Nov lepas, seorang pengarah syarikat berdepan detik cemas selepas diugut bunuh dan dipaksa memindahkan wang daripada akaunnya oleh tiga lelaki dipercayai warga China yang memecah masuk rumahnya di Bukit Gambir, malah suspek turut meletakkan dua objek IED jenis dinamit di belakang pintu masuk.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Che Zaimani berkata polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kejadian seorang bayi perempuan didera pengasuhnya, di Kampung Tanjung Tokong Lama, di George Town, sebelum menyerahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

"Polis menunggu laporan lengkap perubatan bayi berusia enam bulan itu kerana pakar kanak-kanak akan menjalankan pemeriksaan lanjut ke atas mangsa dalam masa terdekat, ia (laporan perubatan) akan melengkapkan kertas siasatan kami," katanya.

Beliau berkata sehingga hari ini lima individu termasuk pengasuh dan ibu bayi berkenaan telah direkodkan keterangan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, tular di laman sosial satu video berdurasi pendek yang dipercayai menunjukkan seorang pengasuh menggoncang kaki bayi perempuan yang sudah boleh meniarap dan wanita itu turut menampar kepala serta menghentak bayi berkenaan ke lantai.

Wanita itu mengaku kepada polis bahawa dia adalah individu dalam video tersebut, namun menafikan mendera bayi berkenaan, sebaliknya mengakui memang kasar tetapi bukan niatnya sengaja mahu mendera atau mencederakan mangsa.

- Bernama

Lihat Komen
ADS