Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'PH perlu tanya pengundi Cina Tg Piai kenapa marah'

Anggota Parlimen Kepong Lim Lip Eng berpendapat PH perlu bermuhasabah terhadap kekalahan besar yang dialami dalam pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai semalam.

Hal itu, menurutnya, boleh dilakukan dengan berjumpa semula dengan pengundi di Tanjung Piai khususnya masyarakat Cina di sana bagi mengumpul pandangan dan ketidakpuasan hati mereka terhadap PH.

“Ini satu pengajaran kepada PH khususnya DAP. Kita mesti mengkaji, kita mesti pergi balik kepada komuniti Cina di Tanjung Piai, tanya mereka apa yang PH dan DAP telah buat salah.

“Mengapa mereka begitu marah kepada kita? Kita mesti balik kepada (penduduk) Tanjung Piai,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Lim diminta mengulas ciapan di Twitternya semalam yang menyatakan dia mendapat tepukan gemuruh dalam satu majlis maskan malam apabila mengumumkan kekalahan PH di PRK Tanjung Piai.

Dalam PRK semalam, PH kecundang di tangan BN dengan majoriti 15,086 undi, apabila calon BN Wee Jeck Seng memperolehi 25,466 undi, manakala calon PH Karmaine Sardini memperolehi 10,380.

Dalam PRK semalam, PH dipercayai dilanda undi protes yang besar membabitkan masyarakat Melayu dan Cina, dan ia dilihat ketara di pusat daerah mengundi (PDM) majoriti Cina apabila kadar peralihan sokongan kepada BN berlaku pada kadar dua kali ganda lebih tinggi berbanding PDM majoriti Melayu.

PH kalah di semua PDM, berbeza dengan rekod PRU lalu apabila PH berjaya memenangi 11 daripada 27 PDM yang ada.

'Hadirin anggap berita baik'

Mengulas mengenai kejadian di majlis makan malam anjuran Persatuan Penduduk Taman Pusat Kepong semalam, kata Lim, ketika menyampaikan ucapannya, dia bertanya hadirin sama ada mahu mengetahui keputusan PRK Tanjung Piai yang sedang berlangsung atau pun tidak.

“Mereka jawab dengan kuat mereka nak tahu. Jadi saya umumkan, PH kalah teruk dengan majoriti sekurang-kurangnya 15,000 (pada waktu itu),” katanya.

Ketika itulah, kata Lim, dia menerima tepukan bergemuruh daripada hadirin yang hadir, seolah-olah berita itu seperti satu berita yang baik dan layak diraikan.

Lim Lip Eng

Malah, ketika mengucapkan tahniah kepada calon BN dari MCA, Wee, dia menerima tepukan yang lebih kuat daripada sebelumnya. Acara itu turut dihadiri oleh wakil MCA Kepong.

Ulas Lim, selepas itu, dalam ucapannya, dia menggambarkan kekalahan PH di Tanjung Piai membawa dua mesej kepada pakatan itu.

Pertama, katanya, ia akan membuatkan BN menganggap strategi memainkan isu perkauman dan agama sebagai strategi yang “terbukti boleh dipakai”, dan akan menyebabkan mereka terus membuat kenyataan berunsur perkauman selepas ini.

“Di depan Melayu, mereka akan kata kerajaan PH ini diketuai oleh DAP Cina, DAP Cina ini komunis, DAP nak jadikan polisi menggugurkan hak keistimewaan bumiputera dan sebagainya.

“MCA pula di kalangan Cina, mereka akan kata DAP ni parti diam-diam takd ada guna, menolak segala peluang polisi kepada Bersatu, iaitu (bawah pimpinan) Tun Mahathir,” katanya.

Manakala mesej kedua pula ialah kerajaan PH di semua peringkat jawatan- baik perdana menteri atau menteri- dan semua parti -baik DAP atau Bersatu- mesti menunaikan manifesto dan menetapkan rancangan masa untuk menunaikannya tanpa berlengah-lengah lagi.

“Kita mesti menunaikan manifesto. Tiada masa lagi. Tak ada kata, ‘baru jadi kerajaan tak sampai dua tahun. Manifesto boleh tunggu’.

"Tak boleh.

“Kita mesti tetapkan masa, manifesto ini bila hendak ditunaikan. Tak boleh tunggu lagi,” katanya lagi.

Menurut Lim, kenyataaan tersebutlah yang mendapat tepukan paling bergemuruh oleh hadirin berbanding tepukan-tepukan yang diberikan sebelumnya.

Lihat Komen
ADS