Malaysiakini
BERITA

Polis berhak semak telefon bimbit orang awam - Azis Jamman

Diterbitkan

PARLIMEN l Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai hak untuk menyemak telefon bimbit orang awam untuk memastikan tiada sebarang bentuk komunikasi berunsur lucah, jelik, mengugut dan mengancam keselamatan orang lain dan negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman berkata perkara itu dibenarkan untuk menjaga ketenteraman awam berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

“Bagaimanapun orang ramai perlu tahu hak mereka semasa semakan rambang dilakukan termasuk boleh meminta identiti pegawai polis yang melakukan pemeriksaan sebagai rekod jika ada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP),” katanya pada sesi jawab lisan Persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Chan Ming Kai (PH-Alor Setar) yang bertanyakan sama ada terdapat laporan pelanggaran SOP dilakukan terhadap pihak polis semasa menyemak telefon bimbit orang awam.

Katanya jika orang awam merasakan ada pelanggaran SOP dilakukan oleh pihak polis, mereka boleh membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran atau di Bukit Aman.

Sementara itu, Mohd Azis berkata pihak polis akan menggunakan setiap elemen termasuk ‘phone-bugging’ atau tapping untuk memastikan siasatan dapat dijalankan jika timbul isu keselamatan yang dilaporkan melibatkan mana-mana pihak.

“Ia tidak mengenal sama ada orang itu ahli politik, ahli perniagaan atau sesiapa sahaja yang dirasakan mempunyai kebarangkalian untuk melakukan perkara-perkara yang menyentuh isu keselamatan, saya yakin pihak polis akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) sama ada pihak polis menggunakan ‘phone-bugging’ atau ‘tapping’ untuk ahli politik blok pembangkang.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.