Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Pilihan raya - bagi orang Melayu pembenci itu - barangkali tiada jauh bezanya dengan hari keramaian. Ia menjadi masa dan tempat paling nikmat untuk mereka semua mengecap kelazatan suatu kebencian.

Sebagaimana diceritakan dalam karya agung Hikayat Hang Tuah itu: “Setelah sudah maka diangkat orang pula hidangan minuman dan tambul pelbagai rupanya. Maka piala yang bertatahkan ratna mutu manikam itu pun diperedarkan oranglah. Maka sekaliannya pun minumlah terlalu ramai dengan segala bunyi-bunyian. Maka biduan yang baik suaranya pun bernyanyilah. Maka segala yang minum itu pun mabuklah; ada yang sempat berjalan; ada yang rebah di tengah jalan tiada khabar akan dirinya; ada yang menari, rebah tiada dapat bangun. Terbanyak pula yang tiada dapat pulang, tidur di balairung dan setengah tidur di balai gendang.”

Pilihan raya - buat orang Melayu yang pembenci itu - barangkali hanyalah sebuah hiburan. Tempat untuk mereka menjadi tidak segan-silu dengan benda-benda yang memabukkan. Sampai jadi nanar akibat berlebihan minum ketuanan.

Kemabukan itu menyebabkan mereka hilang kewarasan, sampai jadi dangkal pemikirannya. Hinggalah mereka tersalah menyembah tuhan dan mengangkat pimpinan.

Mereka gagal melihat apa yang harus dan wajar mereka junjung atau tinggalkan. Sampai tidak berkesudahan mengangkat ahli skandal yang sedang berhadapan dengan bermacam pertuduhan dalam perbicaraan.

Barangkali apa yang berlaku di Tanjung Piai itu bukanlah kemenangan BN, bahkan bukan juga kekalahan PH. Akan tetapi ia adalah kejayaan orang Melayu memenangkan suara dan slogan kebencian mereka terhadap orang Cina yang mengibar bendera DAP - yang menurut mereka sangat membahayakan.

Barangkali - orang Melayu yang pembenci itu - terlalu teruja dengan sentimen kebencian yang mereka minum dan makan dalam banyak jamuan di Tanjung Piai. Keraian dan pesta yang mereka hadiri memang penuh dengan lambakan gaya dan stail tarian-tarian kebencian.

Takkan menang apa-apa

Orang Melayu itu memang tidak pernah mahu ketinggalan. Lalu mereka pun makan dan minum segala hidangan sampai jadi pekak dan buta hingga hampir pengsan.

Semua harus tahu bahawa sesungguhnya politik kebencian itu hanya akan memenangkan kebencian. Ia tidak akan menangkan apa-apa jenis perjuangan untuk Melayu, mahupun untuk Cina yang Melayu itu takutkan.

Apa yang berlaku di Tanjung Piai itu bukanlah kemenangan Islam versi PAS yang sering sesuka hati membacakan fatwa mengikut situasi dan keadaan menguntungkan mereka.

Apa yang berlaku di sana adalah permainan kebencian yang menggilakan, tanpa mengira siapa pun mereka, sama ada di kem BN mahupun kem PH.

Andainya permainan politik negara mahu terus-terusan mengambil jalur strategi isu bangsa dengan mengaitkan prejudis ke dalam rancu konflik politik kebencian yang tak pernah padam sejak sekian lama, barangkali orang Melayu tidak akan menang apa-apa.

Orang Melayu nampaknya cuba menolak PH kerana mahu menzahirkan jihad kebencian mereka kepada Cina DAP yang mereka anggap bahaya. Orang Cina pula memberikan sokongan mereka kepada BN demi menambah bilangan ahli parlimen mereka di dalam parlimen.

Sebahagian Melayu kemudian terlihat penuh kebebalan apabila terlompat-lompat meraikan menang ke atas PH yang kononnya ada Cina jenis mengancam.

Cina dalam DAP mungkin saja sedang bergembira kerana paling tidak berhasil juga kumpulan terbabit untuk mengukuhkan kuasa politik orang Cina dalam parlimen melalui tunduknya penguasaan Bersatu yang - dalam diam - menampar muka masyarakat Cina melalui permainan politik ras mereka.

Raksasa jahat lagi hina

Jadi barangkali pada hakikatnya orang Melayu itu tidak menang apa-apa. Kerana Tanjung Piai sudah diwarnakan sejak awal lagi dengan warna-warna bangsa dan label-label agama.

BN atau Muafakat Nasional itu hanyalah nama yang membungkus susuk-susuk pimpinan yang mengaku tidak tahu-menahu apa yang berlaku dengan akaun peribadi mereka.

Maka orang Melayu yang itu pun berteriak-teriak kesukaan kerana dapat menumpaskan PH yang ada "Cina DAP berbahaya". Cina MCA yang tidak bahaya itu pun berjaya dihantar ke Parlimen dengan gelak ketawa.

Sebaliknya orang Melayu penjual dan pembeli permainan politik kebencian itu pada akhirnya mendapat apa?

Orang Melayu penganut mazhab politik ras harus bangun dan jaga daripada kebencian mereka. Perlakuan politik benci-membenci ini seumpama rasuah - iaitu sejenis raksasa jahat lagi hina - yang kini dibuat tanpa selindung serta terbuka.

Malah ada orang Melayu tanpa silu menerima itu bukan sebagai sesuatu kekejian serius yang membawa bencana. Rasuah yang berlaku sudah diinstitusikan, dikomplotkan dan diskandalkan pun orang Melayu terima dengan berlapang dada.

Orang Melayu jenis ini menerima berita dan perkhabaran rasuah itu hanya selaksana membaca seperenggan naskhah teks hikayat Sejarah Melayu agaknya: “Ada seorang anak baginda perempuan, terlalu baik parasnya maka dipinang oleh Raja Kuci, maka tiada diberi oleh Pau Kubah. Maka diserangnya oleh Raja Kuci, maka peranglah orang Kuci dengan orang Cempa terlalu ramai, tiada beralah. Maka pada suatu hari Raja Kuci menyuruh pada penghulu bendahari Cempa membawanya muafakat diberi emas dan harta terlalu banyak. Maka penghulu bendahari Cempa pun kabullah, serta telah dinihari maka dibukakannya pintu kota oleh penghulu bendahari Cempa. Maka segala orang Kuci pun masuklah ke dalam kota Bal, maka beramuklah dengan orang Cempa. Maka kota Bal pun alahlah.”

Atau malah dari sepotong teks lain dalam hikayat Sejarah Melayu yang berkata: “Maka pada suatu hari Raja Kuci menyuruh pada penghulu bendahari Cempa membawanya muafakat diberi emas dan harta terlalu banyak. Maka penghulu bendahari Cempa pun kabullah, serta telah dinihari maka dibukakannya pintu kota oleh penghulu bendahari Cempa.”

Segala kecurangan penyalahgunaan kuasa dan penyundalan rasuah yang terdedah di dalam mahkamah kita jadikan hanya hiburan yang tidak menggerunkan sesiapa.

Sebagaimana orang Melayu pembenci Cina tadi melihat pilihan raya, tidak pernah jauh beza umpama hiburan dalam keramaian-keramaian dalam istana yang penuh dengan penari dan arak untuk meraikan sesuatu yang tidak punya makna melainkan hiburan kosong semata.

Asalkan nanti Melayu yang pernah curang dengan bermacam jenis penyundalan itu kembali mendapat kuasa.


HARIS HAUZAH seorang penulis skrip dan anggota sidang utama Komuniti Filem Titiwangsa (Komfit).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS