Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sekolah pedalaman ini terima 227 anugerah, termasuk peringkat antarabangsa

Di kebanyakan sekolah, ibu bapa biasanya hanya menyumbang daripada segi kewangan untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Namun, di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai di Limbang, Sarawak, ibu bapa juga terlibat dalam pengajaran dan program sekolah yang lain.

Pendekatan itu antara kunci kejayaan sekolah pedalaman ini untuk menjadi antara sekolah berprestasi tinggi di seluruh negara.

“Saya menggunakan sepenuhnya kerjasama dan penglibatan PIBG sekolah untuk memastikan pendidikan anak murid lebih terjamin,” kata guru besar Jaul Bunyau.

Jaul, yang telah menjadi guru besar sekolah itu selama 21 tahun, minggu lalu mendapat Anugerah Ketua Menteri Sarawak (AKKMS) 2019 atas usahanya  mentransformasikan sekolah tersebut menjadi sekolah berprestasi tinggi.

Cikgu Jaul (paling kiri) menerima Anugerah Ketua Menteri Sarawak (AKKMS), dalam kategori Guru Besar pada Nov 15 di Kuching.

Anugerah antarabangsa

Anugerah itu bukan satu-satunya pengiktirafan yang diterima sekolah yang mempunyai 27 murid dan sembilan orang guru ini.

SK Lubai terletak 50km dari pekan Limbang dan hanya boleh diakses menggunakan bot dan jalan balak.

Walaupun terpencil, ia telah memenangi 227 anugerah dan pengiktirafan, termasuk di peringkat antaranbangsa.

Daripada jumlah itu, 40 merupakan anugerah peringkat antarabangsa, 28 anugerah peringkat kebangsaan, 44 anugerah peringkat negeri dan 115 anugerah peringkat bahagian dan daerah.

Pencapaian tersebut termasuklah Commonwealth Education Good Practice Awards 2009, Johan Wenhui Awards for Educational Innovation 2011, Anugerah Sekolah Cemerlang 2007, Diiktiraf sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) 2007 dan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) 2011.

Program melibatkan ibu bapa

Antara program yang melibatkan ibu bapa adalah program ‘Ai Kitai’, yang bermaksud ‘air kita’.

Lazimnya program Ai Kitai merujuk kepada budaya masyarakat Iban yang akan duduk minum air tuak bersama-sama di rumah panjang.

Bagaimanapun, program Ai Kitai yang diketengahkan SK Ulu Lubai tidak melibatkan tuak, dan hanya menumpukan kepada kerjasama antara ibu bapa dan pendidik untuk memantau anak-anak di rumah panjang.

Melalui Ai Kitai, ibu bapa sepakat memastikan televisyen tidak dipasang di rumah panjang mereka sehingga jam 9.30 malam.

“Ibu bapa akan terus memantau anak mereka di rumah panjang bersama guru untuk memastikan segala kerja rumah atau tugasan yang diberi cikgu siap dilaksanakan,” kata Cikgu Jaul.

Ibu bapa memantau anak-anak membuat kerja rumah di rumah panjang, dalam program Ai Kitai.

Selain itu, Program Kelas Angkat yang dilaksanakan pula memberi tanggungjawab kepada ibu bapa menceriakan kelas anak-anak mereka.

Paling menarik, sejak tahun 2017, sekolah ini memulakan program ‘Segulai Sejalai’, yang bermaksud "seiring sejalan", dengan ibu bapa bersama-sama guru mengajar di bilik darjah untuk merasai sendiri pengalaman mengajar.

“Pada ketika itu kita dapat melihat anak murid berlumba-lumba untuk angkat tangan menjawab soalan seperti mereka ingin menunjukkan kemampuan dan kebolehan kepada ibu bapa mereka,” kata Cikgu Jaul, 56.

SK Ulu Lubai juga menerapkan pendekatan 'kamus sebagai kawan' terhadap murid, yang memerlukan murid bertutur dalam Bahasa Inggeris sepanjang masa, sama ada di rumah panjang mahu pun di sekolah.

Hasilnya, sekolah tersebut meraih 100 peratus lulus dalam Bahasa Inggeris UPSR dari 2003 sehingga 2018.

Ibu bapa terlibat sesi pembelajaran dalam program Segulai Sejalai.

Keadaan dan lokasi bukan penghalang

SK Ulu Lubai dahulunya serba sederhana dari segi infrastruktur dengan bangunan kayu lama. Satu-satunya binaan konkrit hanyalah tandas.

Kini sekolah tersebut mampu menyediakan kerusi urut dan gimnasium bagi menambah baik fasiliti sekolah, kata penolong kanan sekolah Nurul Izzah Afifah Ahmad Yousob ketika dihubungi.

Gimnasium yang lengkap hasil dari anugerah yang diterima.

Fasiliti sekolah juga ditambah baik melalui wang yang diperoleh daripada anugerah yang diberikan. Contohnya, Anugerah Ketua Menteri Sarawak yang datang dengan hadiah wang tunai RM5,000.

“Kemudahan seperti gimnasium yang disediakan merupakan fasiliti yang terdapat di sekolah tersebut bagi melatih atlet sekolah serta penyediaan kerusi urut bagi menyediakan ruang rehat guru di sekolah,” katanya.

Menurut Cikgu Izzah, Cikgu Jaul sentiasa menginginkan yang lebih baik untuk sekolah tersebut, walaupun ia hanya sekolah kecil yang terletak di pedalaman.

Tambahnya, Cikgu Jaul juga ingin mengajar murid-muridnya bahawa keadaan mereka di pedalaman bukan penghalang untuk memajukan diri.

“Setiap anugerah dan kemenangan yang dikecapi hari ini antara sebab beliau tidak puas dan ingin melaksanakan (yang lebih baik) lagi, serta untuk membuktikan kepada anak muridnya walaupun kita di pedalaman kita masih boleh berjaya,” katanya.

Lihat Komen
ADS