Malaysiakini
BERITA

Zahid arah keluar RM17j bina bangunan yayasan, kata saksi

M Fakhrull Halim

Diterbitkan
Dikemaskini 20 Nov 2019, 11:48 tengahari

KES ZAHID | Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini didakwa mengarahkan pengeluaran wang berjumlah RM17,953,185.21 bagi membina bangunan yayasan tersebut.

Semasa member keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, saksi, Narimah Miswadi, memberitahu hal itu semasa membacakan penyataan bertulis mengenai perjumpaannya dengan Ahmad Zahid pada 2016.

Narimah adalah pegawai operasi Affin Bank cawangan Jalan Bunus, Kuala Lumpur.

Semasa sesi soal balas, peguam peguam bela tertuduh, Ahmad Zaidi Zainal, cuba mencadangkan kepada Narimah bahawa “bangunan” yang dimaksudkan sebenarnya merupakan bangunan tahfiz.

Zaidi berbuat demikian dengan memetik perenggan kelima pernyataan bertulis Narimah yang menyebut pengeluaran wang tersebut bagi tujuan membina bangunan Yayasan Akalbudi.

Zaidi: [...] Kalau saya katakan sebenarnya apa yang dikatakan kepada puan oleh Zahid sebenarnya adalah untuk bangunan tahfiz di bangunan di Bagan Datuk.

Narimah: Yang itu saya tak ingat, tapi seingat saya, Zahid beritahu saya untuk bangunan Yayasan Akalbudi di Bagan Datuk, Perak.

Perenggan kelima pernyataaan bertulis Narimah menyebut, Ahmad Zahid memberitahunya bahawa “tujuan pengeluaran wang ini adalah untuk membina sebuah bangunan Yayasan Akalbudi di Bagan Datuk, Perak”.

Dalam pernyataan sama, Narimah menjelaskan dia berjumpa Ahmad Zahid di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya pada 16 Jun 2016 dan diarahkan untuk membuat penebusan semua akaun simpanan tetap Yayasan Akalbudi serta mengeluarkan cek bank atas nama Messrs Lewis & Co.

Zahid ceria dan peramah

Katanya, dia dimaklumkan tujuan pengeluaran adalah untuk membina bangunan yayasan, sebelum Ahmad Zahid mengarahkan pembantu peribadinya - dikenali sebagai Mejar Mazlina - untuk menyediakan satu surat kepada pihak bank bagi tujuan tersebut. Surat itu ditandatangani Ahmad Zahid.

Tambahnya, selepas mendapat kelulusan daripada ibu pejabat bank, cek bank itu diserahkankan kepada Mejar Mazlina beberapa hari selepas mendapat kelulusan.

Zaidi kemudian meminta Narimah mengimbau semula pertemuannya dengan Ahmad Zahid pada 2016 yang menurut Narimah menjadi pertemuan pertama mereka.

Zaidi mencadangkan Narimah mungkin tidak dapat mengingat dengan jelas mengenai “tahfiz dan masjid” yang disebut Ahmad Zahid ekoran rasa gugup dialaminya.

Zaidi: Jumpa timbalan perdana menteri, tak rasa gugup?

Narimah: Ya.

Zaidi: Saya perasan apabila puan tengok Zahid, puan jadi ceria, senyum saja. Kenapa?

Narimah Miswadi (kiri)

Narimah: Sebab masa kali pertama saya jumpa Zahid pada 2016, beliau ada ceria dan peramah.

Zaidi: OK, pada masa itu, puan berada dalam keadaan gugup dan teruja. Pada masa itu, puan tak berapa jelas dengar “bangunan Yayasan Akalbudi”, sebenarnya Zahid kata untuk tahfiz dan masjid yang ditaja oleh yayasan. Ada kemungkinan?

Narimah: Saya pasti, pada masa tersebut, yang saya ingat, Zahid sebut bahawa untuk bangunan Yayasan Akalbudi di Bagan Datuk Perak.

Kemudian, Zaidi mempersoalkan tidakkah Narimah berasa ingin tahu mengapa pemindahan wang tersebut dilakukan kepada firma guaman Messrs Lewis & Co, dan bukannya secara terus kepada pihak yang membuat bangunan.

Narimah hanya menjawab “tidak ingat” dan menjelaskan bahawa firma guaman terbabit merupakan pihak yang menguruskan “pembelian bangunan Yayasan Akalbudi”.

Hal itu menyebabkan Zaidi mendesak Narimah untuk menjelaskan tentang mana satukah terma yang benar-benar didengarnya dalam perjumpaan itu, sama ada “pembelian” atau “pembinaan”.

Zaidi: Jadi sekarang puan mengaku, yang puan tak berapa pasti sebenarnya, pembelian atau buat bangunan. Tak berapa pasti?

Narimah: Minta maaf. Yang saya pasti, untuk bangunan Yayasan Akalbudi.

Ekoran itu, dalam pemeriksaan semula timbalan pendakwa raya Lee Keng Fatt turut meminta Narimah menjelaskan tentang istilah “pembelian” dan “pembinaan” yang dibangkitkan Zaidi, dan memintanya menjelaskan perbualan antaranya dengan Zahid pada 2016.

“Minta maaf ya. Saya tak ingat,” jawab Narimah sebelum dia dilepaskan dan dibebaskan.

Ahmad Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana yayasan itu.

Perbicaraan bersambung esok.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.