Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keganasan rumah tangga bukan lagi isu gender, lelaki juga mangsa

Peningkatan jumlah lelaki yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga menunjukkan ia bukan lagi merupakan isu gender, kata Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Hannah Yeoh.

Hannah berkata daripada sebanyak 340 kes yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga Jun 2019, sebanyak 316 mangsa adalah wanita, manakala 24 kes melibatkan mangsa lelaki.

"Tiga negeri yang mencatatkan kes keganasan rumah tangga yang tertinggi ialah Selangor sebanyak 91 kes (27%), diikuti Pahang 56 kes (16%) dan Kedah 34 kes (10%)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Anggota Parlimen Sekijang, Natrah Ismail yang meminta KPWKM menyatakan statistik mangsa keganasan rumah tangga di seluruh negara.

Namun, katanya data diperolehi JKM hanya melibatkan 10 peratus daripada data Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menerima laporan lebih 3,000 kes dalam tempoh yang sama.

Kata Hannah, ini disebabkan mangsa hanya datang ke JKM untuk mendapatkan nasihat bimbingan, serta khuatir mengenai keselamatan anak-anak.

"Seperti yang dijawab oleh timbalan menteri KDN baru-baru ini, kes keganasan rumah tangga di bawah PDRM adalah 3,139 kes (melibatkan wanita). 

"Bermaksud JKM hanya mendapat 10 peratus daripada data yang dikutip oleh PDRM," katanya.

Tambah Hannah kementeriannya juga mula mendapati peningkatan terhadap mangsa keganasan rumah tangga di kalangan kaum lelaki.

"Jadi ini bukan satu lagi isu mengenai jantina tetapi kita perlu pastikan kesedaran itu ada pada semua pihak," jelasnya.

Sementara menjawab soalan tambahan Natrah berhubung cadangan kementerian menubuhkan jawatankuasa menangani keganasan rumah tangga, Hannah yang juga anggota parlimen Segambut berkata jawatankuasa itu akan mengadakan mesyuarat pertama pada 28 November ini.

"Mesyuarat ini akan dipengerusikan oleh wakil KPWKM melibatkan 16 agensi termasuk Peguam Negara, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Kesihatan Malaysia, Mahkamah Persekutuan, Jakim, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, JPN dan NGO,"jelasnya.

Lihat Komen
ADS