Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Audit 1MDB boleh siap dalam lima bulan tapi lewat kerana sukar akses maklumat’
Diterbitkan:  Nov 21, 2019 6:31 PM
Dikemaskini: 10:58 AM

KES PINDA AUDIT 1MDB l Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa laporan audit ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kumpulan syarikatnya sepatutnya boleh disiapkan dalam tempoh lima bulan namun mengambil masa hampir setahun kerana kesukaran mengakses maklumat.

Bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berkata beliau juga mengarahkan laporan akhir audit 1MDB diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 untuk mengelak kebocoran maklumat berlaku sekali lagi di peringkat urus setia Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC).

Saksi pendakwaan keenam itu berkata Jabatan Audit Negara (JAN) diarahkan supaya membuat pengauditan terhadap kumpulan syarikat 1MDB dalam Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 4 Mac 2015 untuk menilai prestasi kewangan dan aktiviti syarikat serta menentusahkan penyata kewangannya.

“Bagaimanapun, pengauditan yang dijalankan oleh sepasukan 12 pegawai dari JAN sejak Mac 2015 mengambil masa kira-kira setahun disebabkan kesukaran mengakses maklumat yang diperlukan untuk audit.

“JAN mengambil masa yang lama kerana menghadapi limitasi dalam mendapatkan sebahagian dokumen asal dan penting, lewat diserahkan atau tidak diserahkan sama sekali oleh 1MDB bagi tujuan pengesahan transaksi dan sebagai bukti audit,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Rozaliana Zakaria pada hari keempat perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy, berhubung dakwaan meminda laporan akhir audit 1MDB.

Semasa membacakan penyataan saksinya, Ambrin, 70, yang kini memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan di Jabatan Perdana Menteri berkata dokumen-dokumen tersebut penting untuk pengauditan bagi mengesahkan kedudukan sebenar kewangan dan operasi syarikat serta urus niaga yang berkaitan.

“Antara dokumen penting yang tidak pernah sampai dari 1MDB adalah akaun pengurusan kumpulan itu bagi tahun berakhir 31 Mac 2015 dan penyata bank daripada institusi kewangan luar negara.

“Tambahan lagi tiada capaian dapat dibuat terhadap komputer, komputer riba dan pelayan komputer di 1MDB bagi mendapatkan data serta maklumat untuk tujuan rujuk silang dan analisis semasa pengauditan,” katanya.

Beliau yang memegang jawatan sebagai Ketua Audit Negara (KAN) selama 12 tahun sejak 2006 turut menambah pihaknya kemudian menghantar surat rasmi kepada Arul Kanda selaku Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB bagi mengarahkan syarikat itu memberi kerjasama untuk membenarkan pasukan audit menyemak semua rekod dan dokumen termasuk data daripada sistem.

Mengenai isu kebocoran maklumat dan klasifikasi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, Ambrin berkata beliau memutuskan klasifikasi tersebut untuk mengelakkan laporan 1MDB disensasikan secara pramatang.

“Ini berikutan, pihak 1MDB telah mengemukakan satu surat berkenaan isu pembocoran maklumat laporan interim tersebut kepada saya pada 22 Okt 2015,” katanya.

Najib, 66, didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya bagi mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Beliau didakwa, atas kedudukannya sebagai pegawai awam iaitu perdana menteri, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Feb 2016 dan 26 Feb 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan itu, bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung Rabu depan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS