Paling Popular
Terkini

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini meneliti rekod penggunaan dua kad kredit dan satu kad caj milik bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

Rekod itu dibentangkan Naib Presiden (ketua pengurusan penipuan dan pertikaian), Malayan Banking Berhad (Maybank), G S Anoop Singh di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah dalam perbicaraan dana Yayasan Akalbudi melibatkan Ahmad Zahid yang masuk hari keempat.

Anoop merupakan saksi kesembilan pendakwaan dalam kes perbicaraan pecah amanah dana milik Yayasan Akal Budi.

Ketika membacakan pernyataan bertulisnya, Anoop mengesahkan Ahmad Zahid memiliki tiga kad, iaitu dua kad kredit Visa Platinum (Visa), Mastercard Gold (Mastercard) dan satu kad caj American Express (Amex).

Katanya, penyata bank untuk kad Visa dan Mastercard dikeluarkan pada 24 haribulan setiap bulan, dan mengandungi aktiviti atau penggunaan bulan tersebut contohnya penjelasan mengenai transaksi dan jumlahnya, serta bayaran diterima untuk setiap kad.

“Setakat pengetahuan saya dan berdasarkan rekod bank, bank tidak ada menerima sebarang pertikaian mengenai pengebilan mahupun aduan terhadap transaksi tidak sah yang dibuat oleh pemegang kad,” katanya.

Menurut rekod yang dibacakan Anoop, penyata kad kredit Mastercard menunjukkan pembayaran berjumlah RM10,080 dibuat sebelum kad itu ditutup pada 16 April 2014, manakala penyata kad kredit Visa menunjukkan penggunaan berjumlah RM13,504.90, manakala bayaran pula adalah sebanyak RM24,606.03

Manakala, untuk kad Amex pula, sebanyak RM34,257.12 penggunaan direkodkan manakala pembayaran dibuat pula sebanyak RM30,635.80.

Daripada jumlah ketiga-tiga kad itu, sejumlah RM40,051.36 digunakan untuk perbelanjaan di luar negara, melibatkan beberapa perbelanjaan runcit dan pasaraya di Kiev Ukraine dan Korea Selatan.

Selain kat Mastercard yang ditutup pada 16 April 2014, kedua-dua kad yang lain masih aktif sehingga hari ini.

“Secara rumusannya, sembilan cek dikeluarkan kepada Pusat Kad Maybank antara Februari 2014 hingga Julai 2015 untuk membayar kad-kad kredit dan kad caj Amex milik Datuk Ahmad Zahid Hamidi.

“Daripada sembilan cek, satu dipulangkan kepada pembayar,” katanya lagi.

'Keputusan Yayasan Akal Budi dibuat Zahid' 

Terdahulu, dalam prosiding sama, saksi kelapan, bekas pegawai Zahid dan bekas ahli lembaga pemegang amanah (BOT) Yayasan Akal Budi sejak 2012 sebelum diminta meletakkan jawatan pada 2016, Muhammad Nabil Saleh memberi keterangan di mahkamah.

Menurut kenyataan bertulis saksi, segala keputusan Yayasan Akal Budi diuruskan sendiri oleh Zahid.

"Sepanjang saya dilantik sebagai BOT Yayasan Akalbudi saya tidak pernah dibentangkan berkaitan sumbangan, perbelanjaan, penyata-penyata kewangan atau membincangkan apa-apa aktiviti yang dilaksanakan oleh Yayasan Akal Budi kerana segala perkara-perkara ini diputuskan dan diuruskan sendiri oleh Dato Sri Ahmad Zahid Bin Hamidi sendiri dan diluar pengetahuan saya sebagai BOT," kata saksi.

Muhammad Nabil juga beranggapan sumbangan daripada Ahmad Zahid adalah datang dari sumber Yayasan Akalbudi.

Selepas membacakan pernyataan bertulisnya di mahkamah, Nabil disoal peguam bela Ahmad Zahid, Ahmad Zaidi Zainal semasa sesi pemeriksaan balas tentang beberapa projek yang dibiayai oleh Yayasan Akal Budi.

Untuk sebahagian projek yang dibangkitkan, Nabil mengaku tahu mengenainya dan mendakwa ia ditaja oleh “Zahid dan Yayasan Akalbudi”, manakala sebahagian lagi adalah di luar pengetahuannya.

Bagaimanapun, dalam sesi pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya Lee Keng Fatt, Nabil mengakui jawapannya ketika pemeriksaan balas hanyalah anggapannya.

Nabil menjadi pembantu khas kepada Ahmad Zahid selaku anggota parlimen Bagan Datuk pada 2010 selepas tamat pengajian di Universiti Teknologi Mara, sebelum dilantik menjadi setiausaha bahagian Bagan Datuk dan pegawai khas Ahmad Zahid pada 2013.

Dia melepaskan jawatan-jawatan tersebut pada 2016.

Katanya, penglibatannya dalam Yayasan Akalbudi bermula pada tahun 2012 apabila dia “diarahkan” menjadi BOT yayasan tersebut bagi menggantikan BOT sebelum itu, sebelum diminta menandatangani surat peletakan jawatan oleh peguam Ahmad Zahid, yang dikenali sebagai Ustaz Faisaluddin.

“Saya diminta menandatangani satu surat peletakan jawatan sebagai BOT Yayasan Akalbudi kerana Dato Sri Ahmad Zahid Bin Hamidi hendak melantik BOT yang baru,” katanya.

Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan jenayah pecah amanah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan beliau boleh dihukum penjara tidak kurang dari 20 tahun dan sebatan serta denda.

Perbicaraan bersambung 2 Disember. 

Lihat Komen
ADS