Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Konvo' di bendang, kebun getah lambang sanjung jasa ibu bapa

Ketika rakan graduan mereka bergambar sempena majlis konvokesyen di studio mahupun dalam kawasan universiti, dua graduan ini membuat kelainan dengan bergambar di sawah padi dan kebun getah.

Menurut Hidayahtul Asyikkin Ishak dan Nor Shahirah Wahap, itu adalah cara mereka menghargai pengorbanan ibu bapa yang bekerja keras untuk membolehkan matlamat mereka ke puncak menara gading tercapai.

Hidayahtul Asyikkin, 23, yang baru sahaja tamat pengajiannya dan memperoleh ijazah Sarjana Muda Kaunseling di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), berkata bapanyalah yang mencadangkan dia merakam detik bahagia itu di sawah padi.

“Pada hari (penggambaran), abah cadangkan: Pergi ke sawah padi kita sajalah.

“Abah memang sejak mudanya memang sentiasa dengan padi. Usaha petani yang menuai di sawah itu bagi saya luar biasa,” katanya.

Shahirah bergambar di ladang getah bersama ayahnya, seorang penoreh getah.

Bagi Shahirah pula bergambar di kebun getah adalah simbolik kepada perjuangannya untuk menggapai ijazah Sarjana Sains (Pembangunan Manusia) di Universiti Putra Malaysia (UPM)

“Saya ingin mengabadikan kenangan di tempat ayah saya mencari rezeki buat keluarga.

“Dari hasil titik peluh ayah saya di sinilah, kakak-kakak saya dan saya mampu melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah,” kata anak kelahiran Kuala Terengganu 24 tahun lalu itu.

Masalah kewangan

Lahir sebagai anak penoreh getah dan petani memang mencabar untuk sesiapa saja yang selalu berdepan masalah kewangan.

Hidayahtul Asyikkin berkata, kerana itu dia perlu bekerja sambilan semasa belajar demi menyara hidupnya.

Untuk itu dia bekerja sambilan. Bukan satu tetapi dua tiga pekerjaan. Misalnya menjadi pekerja di Hotel Nilai Springs, berniaga air di tapak-tapak ekspo, mengambil upah menjual bunga konvokesyen dan sebagainya.

Hidayahtul bersama keluarganya di sawah padi di mana bapanya mencari rezeki.

 “Saya selalu mengelak daripada berbual di telefon dengan mak dan abah sebab risau mereka akan tanya: Duit ada lagi tak?

“Biasanya saya buat keputusan untuk buat-buat ada duit saja walaupun sebenarnya dalam tangan ada baki RM1 saja. Dengan duit tu, nak beli nasi bujang pun tak lepas.

“Jadi untuk elakkan daripada menipu, saya ambil inisiatif bekerja sambilan,” kata anak Pahang itu.

Shahirah pula berkata dia berdepanmasalah kewangan apabila tiba musim hujan. Ketika itu, kata Shahiran, bapanya tidak boleh keluar menoreh.

Namun, dia bernasib baik kerana menerima bantuan zakat daripada UPM dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu. Dengan wang itulah dia meneruskan pembelajarannya di universiti.

Dah lama rancang bergambar

Hidayahtul Asyikkin yang merupakan anak ke lima daripada tujuh beradik itu berkata, impiannya bergambar bersama keluarga untuk majlis konvokesyen dirancang sejak semester pertama lagi.

“Cerita di sebalik gambar ini adalah, ia merupakan angan-angan yang saya pasang sejak semester pertama lagi.

“Kalau berjaya habiskan pengajian, dapat jubah dan mortar board, saya nak ambil gambar dengan keluarga,” katanya.

Namun begitu, tidak semua adik-beradiknya dapat bersama untuk sesi penggambaran itu.

“Saya cuma sedih sedikit kerana tak berpeluang kumpulkan semua adik-beradik saya yang lain, tapi saya faham dengan kekangan masa dan kesibukan masing-masing mencari rezeki di negeri lain.

“Jadi saya teruskan saja sesi memfoto itu dengan abang dan adik-adik yang ada di rumah,” katanya.

Bagi Shahirah pula, inspirasi melanjutkan pelajaran ke menara gading datang daripada keluarganya sendiri.

Seorang kakaknya pemegang ijazah dalam bidang Pembangunan Manusia di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), manakala seorang lagi bidang Sains dan Matematik di Universiti Teknologi Mara (UiTM)

“Mereka menjadi idola saya untuk kegigihan melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah. Saya bertekad untuk mengubah nasib keluarga.

“Hanya dengan pendidikan boleh mengubah nasib kehidupan seseorang,” katanya.

Keluarga menjadi inspirasi Shahirah untuk berjaya di menara gading.

Dengan kejayaan mereka mengatasi cabaran itu, Hidayahtul Asyikkin dan Shahirah mempunyai pesanan kepada 'adik-adik' yang masih di bangku sekolah.

Pesanan mereka ialah: Sentiasa berfikiran positif dan pada masa sama tetap menghormati orang tua.

“Jika rasa down, tolonglah bayangkan muka ibu ayah kita.

"Renung gambar mereka dan kata: Aku buat semua ini untuk mereka. Aku nak banggakan mereka,” kata Shahirah.

Lihat Komen
ADS