Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Senarai kerja kritikal didedah pada umum bulan depan

Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran berkata senarai pekerjaan kritikal yang menyatakan pekerjaan utama yang paling dalam permintaan dan berisiko menjadi tidak relevan dijangka siap pada pertengahan Disember.

"Kami (kementerian) sedang menyediakan senarai pekerjaan kritikal, ini bermakna ia pada asasnya akan memberitahu anda kursus yang perlu anda ambil, yang seharusnya berorientasikan pekerjaan dan mudah diletakkan di pasaran.

"Kami akan menyenaraikan 10 hingga 15 pekerjaan di mana anda pasti akan mendapat pekerjaan. Kami juga akan memberitahu anda 10 hingga 15 pekerjaan yang kritikal yang anda mungkin ingin pertimbangkan semula.

"Saya menjangkakan pertengahan Disember (untuk keluarkan senarai itu)," kata Kulasegaran kepada Malaysiakini di parlimen, semalam.

Pada 20 Nov, Kulasegeran mengumumkan bahawa sekolah akan dibekalkan dengan senarai pekerjaan yang berisiko menjadi tidak relevan pada masa depan untuk menjadi panduan kepada pelajar mengenai kursus yang mereka boleh ambil.

Kulasegaran bagaimanapun tidak mengulas lanjut apabila diminta memberi contoh pekerjaan yang berisiko menjadi tidak relevan pada masa akan datang.

"Saya tidak mahu cakaplah, tapi saya akan kata ... semua kerja yang melibatkan jari berisiko," kata Kulasegaran sambil melakukan gerakan menaip dengan jari-jarinya.

Ditanya sama ada dia bermakna pekerjaan IT, dia tidak mengulas lanjut dan mencadangkan mencari di Google untuk maklumat lanjut.

"Isunya adalah 15 peratus daripada pekerjaan yang ada sekarang mungkin tidak akan ada dalam masa beberapa tahun akan datang," katanya.

Malaysiakini cuba menghubungi Kulasegaran dan pasukannya untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut.

Senarai pekerjaan kritikal ini merupakan usaha bersama antara Bank Dunia, Pertubuhan Buruh Antarabangsa, Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh dan Talent Corp (sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia).

Kulasegaran berkata senarai itu biasanya disediakan setiap beberapa tahun tetapi ia tidak pernah diterbitkan untuk orang awam.

Kulasegaran berpandangan bahawa penting untuk memberikan maklumat tersebut kepada orang ramai melalui institusi pendidikan.

Lihat Komen
ADS