Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Berkat kerjasama ibu bapa, guru, pelajar dan tukang kebun memanfaatkan kawasan lapang di sekolah rendah SK Methodist (ACS) di Ipoh, mereka kini mampu tersenyum apabila berjaya menjana pendapatan bagi sekolah berkenaan.

Dinamakan Happy Garden (Taman Gembira), taman sebesar 200 kaki persegi ini ditanam pelbagai jenis sayuran seperti kacang hijau dan timun.

Happy Garden merupakan cetusan idea guru, Wan Ahmad Shaffin Wan Ahmad Nasri dan ibu pelajar Joanne Lum Siew Lan yang membawa cadangan ini ke mesyuarat tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru pada tahun 2019.

“Idea ini bermula dari perbualan saya dengan Cikgu Wan Ahmad dan kami teruja untuk mengetahui (ilmu pertanian) dan berkongsi semangat yang sama dalam berkebun,” kata Joannne.

Menurut Joanne, pelajar berpeluang mempelajari penanaman pokok herba dan tumbuhan secara praktikal, serta rahsia kegunaannya sama ada untuk tujuan perubatan atau masakan.

Malah aktiviti ini juga dapat membiasakan pelajar dengan khazanah alam semula jadi di samping mewujudkan persekitaran untuk membantu pembelajaran pelajar, katanya.

Bagaimanapun aktiviti berkebun itu tidak menjejaskan waktu pembelajaran kerana banyak dibantu oleh pekebun sekolah.

Pelajar juga datang ke sekolah untuk melaksanakan aktiviti berkaitan Happy Garden pada hari hujung minggu.

Hasil banyak, boleh buka gerai

Menurut Cikgu Wan Ahmad, usaha edible garden (menanam tanaman yang boleh dimakan) memberi kesedaran kepada pelajar akan kepentingan tumbuhan hijau.

“Kebanyakan pelajar tidak mengenali jenis-jenis pokok dan sayuran, maka adalah baik untuk didik mereka menghargai tumbuhan kerana ia sumber makanan utama,” katanya.

Pelajar SK Methodist (ACS) Ipoh di kebun sayur mereka yang dipanggil Happy Garden.

Happy Garden kini dihiasi pelbagai tanaman seperti betik, mulberi, kacang hijau, daun kari, daun bawang, ceri, limau, nanas, daun pandan dan lain-lain.

Pada mulanya hasil tuaian Happy Garden tidak banyak dan hanya dapat dikongsi dengan tukang kebun, serta dijual kepada beberapa guru dan ibu bapa.

“Kami telah menjual dua jenis daun bawang untuk mendapatkan sedikit dana tambahan untuk membeli benih dan bawang,” kata Joanne.

Selepas beberapa percubaan, serta menggunakan baja organik dengan sokongan kewangan pihak sekolah, hasilnya berlipat kali ganda.

Happy Garden juga berkembang maju dengan bantuan Doraisingam Muniandy, seorang bekas jurutera dan bapa pelajar ACS Ipoh yang memang minat berkebun.

Doraisamy menyokong projek ini dengan membina struktur kebun, mencadangkan penggunaan baja dan teknik berkebun untuk mendapatkan hasil yang memberansangkan. 

Hasil kebun dijual kepada ibu bapa.

Kini pihak sekolah bercadang membuka gerai dalam kawasan sekolah untuk pelajar menjual hasil kebun kepada ibu bapa sebelum atau selepas sekolah.

Bermula dari sini pelajar boleh belajar mengenai pengurusan kewangan dan menyumbang pendapatan kepada sekolah, kata Joanne.

Menurutnya, ibu bapa perlu mengembangkan pengalaman kanak-kanak untuk pembelajaran di luar kelas.

"Semenjak dari rumah lagi kita perlu memperkayakan mereka dengan seni, budaya, kerja, serta pelbagai peristiwa dan kehidupan dalam masyarakat sebelum mereka terdedah ke dunia yang sebenar,” katanya.

Lihat Komen
ADS