Paling Popular
Terkini

Buku lama ataupun manuskrip usang mempunyai nilai yang sangat tinggi sama ada sentimental mahupun wang ringgit.

Namun begitu, memiliki buku yang sudah berusia hadir dengan risikonya tersendiri. Jika dalam keadaan baik, ia adalah suatu tuah, tetapi kika sebaliknya - lusuh, koyak-rabak atau seumpamanya - ia adalah masalah.

Membaik pulih naskhah lama masih sesuatu perkara yang asing di negara ini jika dibandingkan dengan Barat yang pernah melalui zaman Renaissance seperti Itali.

Bahkan jika ada dalam kalangan kita yang berkemahuan untuk melakukannya di sini sudah pasti ramai yang akan menemui jalan buntu.

Menyedari pentingnya menjaga buku-buku lama, Ilham Hamzah Hasrul - atau lebih dikenali dengan nama Ilham dalam komuniti pengumpul buku-buku lama - memulakan usahanya untuk membaik pulih risalah usang seperti buku dan majalah sejak lapan tahun yang lalu.

Anak kelahiran Selangor yang hanya bermula dengan membaik pulih majalah lama miliknya sebelum ini berkata, dia terlintas untuk tekun dengan kegiatan itu setelah mendapati tiada perusahaan atau individu yang menawarkan perkhidmatan membaiki risalah lama di negara ini.

“Sebab tiada orang boleh baik pulih. Jadi kena buat sendiri.

“Mulanya saya baik pulih majalah... baik pulih yang ringkas sahaja,” katanya ketika ditemui Malaysiakini baru-baru ini.

Kena buat juga

Menjawab persoalan sama ada nilai sesuatu buku akan turun atau hilang selepas dibaik pulih, Ilham memberitahu, sebelum memutuskan untuk menjalani proses tersebut, pemilik naskhah terbabit perlu memahami tujuan mereka terlebih dahulu.

“Ada yang mahu dibaik pulih supaya buku itu dapat dibaca, jadi dia kena buat.

“Kalau setakat dia nak simpan dan kekalkan keadaan vintaj, tak payah baik pulihlah.

“Tapi ada sesetengah (kes), baik pulih kena buat juga, kalau tidak bahan tu akan makin rosak,” jelasnya lagi.

Ilham yang kini mahir membaik pulih buku-buku lama bagaimanapun memberitahu dia tidak pernah mengikuti kelas atau mempunyai latar belakang pendidikan formal berkaitan dengan proses pemuliharaan buku sebelum ini.

Katanya, kemahiran itu dipelajari dari pelbagai sumber seperti bahan bacaan dan perkongsian di Internet, selain pernah mempelajari asas baik pulih buku daripada arwah bapanya suatu masa dahulu.

Bercerita mengenai proses pembelajarannya untuk membaik pulih naskhah lama, Ilham berkata, ia memerlukan minat yang mendalam serta latihan yang berterusan bagi memahirkan diri dengan pelbagai teknik pemulihan buku.

“Kita kena lalui sendiri pengalaman tu, baru boleh faham benda ini.

“Kita boleh nampak apa orang buat di YouTube, tapi buat tak mesti menjadi. Benda tu kena buat banyak kali baru dapat dan faham,” katanya.

Kini selepas lapan tahun, Ilham sudah pun mahir dalam pelbagai teknik membaik pulih buku seperti menjahit, mereka bentuk kulit, serta merawat kulat dan serangga perosak yang terdapat pada naskhah-naskhah usang.

Tambah Ilham, tempoh lapan tahun yang dilaluinya sebelum ini bukan saja memberi peluang kepadanya untuk mempelajari pelbagai teknik berkaitan baik pulih buku, tetapi pada masa sama membuka ruang untuk melakukan kesilapan demi kesilapan demi mencari kesempurnaan dalam kerjanya.

Walaupun menyedari kemahiran membaik pulih buku memerlukan komitmen yang tinggi serta masa yang lama, Ilham memberitahu, dia pernah terdetik untuk berkongsi ilmu yang dimilikinya dengan orang lain yang berminat.

“Kena ada minat... Ada orang datang kalau nak belajar, bukan kita yang cari dia nak mengajar.

“Sebab ilmu macam ini tak boleh disimpan, kena kongsikan bagi ramai yang buat. Masih banyak bahan yang boleh dibaik pulih,” katanya.

Hingga cecah dua bulan

Bercerita lebih lanjut mengenai proses membaik pulih bahan bacaan, Ilham memberitahu tempoh masa yang diambil untuk sesuatu naskhah itu disiapkan bergantung kepada kerosakan yang dialami.

Untuk memudahkan kerjanya, dia sentiasa membahagikan proses baik pulih kepada dua kategori, sama ada pemuliharaan kecil (minor restoration) atau pemuliharaan besar (major restoration).

Bagi proses baik pulih yang ringan, Ilham mungkinhanya mengambil masa 10 minit sahaja, namun bagi kerja-kerja yang lebih besar atau rumit - seperti pembuatan semula kulit buku dan pencucian kertas (paper wash) - ia memerlukan masa yang lebih lama.

Malah ada ketikanya, masa sehingga dua bulan diperlukan untuk menyiapkan tugasan tersebut.

“Kalau nak buat paper wash ni hampir sebulan. Kita buka dan kita basuh balik, tanggalkan satu-satu, kita rendam dalam etanol dan campuran lain. Rendam dan kena kering balik,” jelasnya sambil menunjukkan cara melakukan proses tersebut baru-baru ini.

Dalam pertemuan dengan Malaysiakini itu juga Ilham sempat menjelaskan kerja-kerja membaik pulih buku tidak terbatas hanya kepada proses penjilidan dan penjahitan tulang buku seperti tanggapan orang ramai sebelum ini.

Katanya, untuk gaya jahitan saja, ia mempunyai pelbagai cara.

“Buku ada banyak jenis jahitan, ada gaya jahitan Jepun, gaya Amerika, Jerman, UK dan crawl inside.

“Ramai orang ingat, buku tu dijahit begitu saja. Tak, bukan gitu. Jahitan buku ni ada cara loop dan matikan benang tersendiri. Ada yang mula dari dalam, dan ada yang mula dari luar," katanya.

Bagi alat yang digunakan pula, menurut Ilham, kebanyakannya adalah peralatan tangan yang boleh didapatkan di kedai perkakasan biasa, selain beberapa bahan - seperti benang dan penyalut (coating) - yang perlu diimport.

Kini selepas hampir sedekad membaik pulih buku kepunyaan sendiri, Ilham baru-baru ini juga mula menawarkan perkhidmatannya kepada pemilik-pemilik buku yang mahukan perkhidmatan membaik pulih.

Dia yang membuat kerja-kerja itu di rumahnya menjelaskan perkhidmatan tersebut disediakan kerana minatnya yang mendalam dalam kerja-kerja memberi nafas baru kepada naskhah usang, bukannya mengejar keuntungan semata-mata.

“Kalau orang happy, kita pun happy. Kadang-kadang kita ada penanda aras sendiri dan kita kena tanya: kita puas hati atau tak?

“Kalau dah puas hati baru berhenti. Kita kena letak diri kita sebagai pemilik buku,” katanya mengenai penanda aras yang ditetapkan untuk tugasannya itu.

Lihat Komen
ADS