Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

ULASAN | Ketika Malaysiakini dilancarkan 20 tahun lalu, kami menggunakan modem 56k untuk memuat naik berita. Kalangan yang bukan generasi 'baby boomers' mungkin tidak tahu apa yang dikatakan saya ini.

Modem 56k adalah kotak kecil dengan bunyi-bunyian aneh ketika internet disambungkan. Dan ia amat perlahan. Anda boleh lupakan saja jika nak muat naik gambar atau video.

Ketika itu tiada jalur lebar, blog, Facebook, Twitter, Whatsapp, Wechat, Instagram, TikTok, dan yang seumpamanya. Hanya emel dan telefon bimbit dengan saiz batu-bata.

Sepanjang dua dekad lalu, Malaysiakini membuat liputan terhadap empat perdana menteri (sebenarnya tiga, dan mungkin empat tak lama lagi). Kami telah melaporkan lima PRU, banyak himpunan, dan menyaksikan penangkapan tiga wartawan kami.

Kami diisytiharkan sebagai pengkhianat oleh seorang perdana menteri, dan disaman oleh seorang lagi perdana menteri. Kami berdepan serangan siber yang melemahkan, dihalau dari sidang media, dan diserbu polis sekurang-kurangnya lima kali.

Benar, kami berdepan dengan serangan. Tetapi kami masih tetap berdiri.

Dala sela masa sama, kita juga melihat perubahan, daripada Mahathir kepada Mahathir. Saya masih ingat jerebu adalah masalah besar pada masa itu.

Apa-apa pun, ada hal yang tidak berubah dan ada juga yang kekal.

Dunia berubah

Dunia juga telah berubah. Generasi papan kekunci digantikan dengan generasi 'touchscreen'.

Dahulu organisasi media amat berkuasa. Kini tidak lagi. Mereka sudah tiada monopoli penuh terhadap penyebaran maklumat. Media sosial menamatkan monopoli itu.

Persoalan tidak lagi tentang apa yang perlu dilakukan media untuk menggalakkan perbahasan nasional. Media memang perlu terus memainkan peranan itu, terutama dalam membantu membina konsensus dalam masyarakat yang terpecah.

Tetapi persoalan yang perlu ditanya ialah - apa yang anda boleh lakukan?

Kita perlu lebih mengetahui tentang isu yang kita ambil berat dan memberi kesan besar kepada kita, kalangan di sekitar, dan generasi seterusnya. Anda boleh berbuat demikian dengan melayari Malaysiakini.

Kita perlu membincangkan isu-isu penting dengan keluarga, kawan, rakan sekerja, dan mereka yang kita kenali. Dan kita perlu melawan ucapan kebencian, pada setiap masa dan ketika.

Kenapa? Kerana jika anda tidak berbuat demikian, ada orang lain yang akan melakukannya - mereka yang tidak percaya Malaysia perlu menjadi masyarakat yang inklusif, mereka yang tidak percaya kita perlu menjaga alam sekitar dan menghormati hak asasi manusia.

Dengan membiarkan mereka, kita membenarkan mereka untuk mengawal naratif dan mendominasi perbahasan nasional.

Politik bukan hanya tentang apa yang anda mahu, tetapi juga tentang apa yang orang lain mahu.

Ia tentang pengurusan konflik, mengubah sikap, dan berkompromi - ia bukan tugas ahli politik semata-mata tetapi semua orang.

Dan bagi masyarakat yang terpecah seperti Malaysia, ia satu proses panjang dan sukar. Tetapi kita mesti bermula - sekarang.

Pasukan Malaysiakini

Ini kali kelima kami adakan acara ulang tahun. Kali pertama ketika Malaysiakini berusia setahun, kemudian ketika lima tahun, sepuluh tahun, dan kali terakhir ketika ulang tahun ke-15.

Lama dulu kami putuskan untuk tidak meminta ahli politik berucap dalam acara ulang tahun ini sebagai tanda kebebasan kami.

Malam ini ada sejumlah ahli politik yang hadir, daripada semua parti. Saya tabik mereka kerana hadir. Kita semua tahu susah untuk mereka datang apabila tahu mereka tidak akan memberi ucapan.

Dan Anwar Ibrahim akhirnya dapat hadir tahun ini. Beliau tidak dapat berbuat demikian pada acara terdahulu, antaranya kerana menjadi tetamu di Sungai Buloh.

Sudah menjadi tradisi untuk saya memanggil semua pasukan Malaysiakini untuk naik ke pentas.

Saya tak akan berbuat demikian pada tahun ini kerana terlalu ramai, memandangkan mereka yang pernah bekerja di Malaysiakini sepanjang 20 tahun ini turut hadir.

Bagaimanapun saya akan meminta semua yang bekerja dan pernah bekerja dengan Malaysiakini untuk bangun.

Mereka telah menyumbang untuk menjadikan Malaysiakini seperti hari ini. Mereka sebahagian daripada kalangan yang akan memastikan Malaysiakini terus berkata hal yang benar kepada kuasa.

Saya amat berbangga dengan mereka. Terima kasih.

Kami tidak sempurna, dan ada membuat kesilapan. Banyak kali kami tidak mencapai tahap yang sepatutnya. Malah ada ketikanya kami tidak bersetuju antara satu sama lain.

Tetapi jiwa kami di tempat yang sebenarnya. Kami cekal, sebahagiannya sanggup membuat pengorbanan besar, dan seringkali kami menolak 'tidak' sebagai jawapan yang boleh diterima. Paling utama, kami memikul tanggungjawab sebagai wartawan dengan serius.

Pada masa sama, jutaan terima kasih kepada pembaca, pelanggan dan penyokong kami - terutama mereka yang telah menyumbang kepada dana bangunan (pembeli batu-bata) dan dana guaman kami.

Jutaan terima kasih juga kepada para komentar dan kolumnis kami. Tanpa anda, tiada Malaysiakini.

Mereka yang telah pergi

Jangan dilupakan mereka yang sudah tidak bersama kita. Antaranya bapa kewartawanan atas talian, MGG Pillai. MGG meninggal dunia pada 2006. Anaknya, Sreejit, bersama kita pada malam ini.

Juga tidak dilupakan Tony Thien, atau SC Chan, dahulunya koresponden Malaysiakini di Sarawak. Beliau meninggal dunia pada 2009.

Dan Claudia Theophilus, wartawan senior Malaysiakini yang menyertai Al Jazeera dan terbunuh di Lubnan pada 2013.

Begitu juga Harun Rashid, kolumnis ketika zaman awal Malaysiakini. Saya masih simpan mesej yang dihantar isterinya 15 tahun lalu, sebaik sebelum ulang tahun kelima Malaysiakini. Dia berkata:

"Ketika arwah suami saya menulis surat pertama kepada Malaysiakini hanya beberapa hari selepas Malaysiakini dilancarkan, anak saya berusia sebulan. Kini dia sudah lima tahun. Begitu juga Malaysiakini.

"Terima kasih atas persahabatan dan peluang yang diberi kepada arwah suami saya untuk menulis di Malaysiakini. Ia begitu bermakna buatnya.

"Dan bagi pihak arwah dan anak, saya mengucapkan selamat ulang tahun kepada anda dan pasukan Malaysiakini. Semoga Allah memberkati kita semua. Amin."

Harun Rashid meninggal dunia pada 2004. Kami semua amat merindui kolumnya, Worldview.

Harun, MGG, Tony dan Claudia telah melakukan yang terbaik - menerusi kewartawanan mereka - untuk menjadikan dunia lebih baik untuk semua.

Kini giliran kita pula untuk membawa obor itu. Kami tidak akan mengecewakan mereka.

Dan seperti mereka, kami berharap kami juga akan melakukan yang terbaik untuk menjadikan dunia ini lebih baik berbanding dunia yang kita warisi sebelumnya.


STEVEN GAN ialah pengasas bersama dan ketua pengarang Malaysiakini. Tulisan ini ialah ucapannya ketika majlis ulang tahun ke-20 Malaysiakini pada 23 November 2019.

 

Lihat Komen
ADS