Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Prestasi kewangan k'jaan Terengganu kurang stabil - Audit
Diterbitkan:  Nov 24, 2019 12:59 PM
Dikemaskini: 4:59 AM

Prestasi kewangan kerajaan Terengganu bagi 2018 adalah kurang stabil.

Laporan Ketua Audit Negara mengenai penyata kewangan kerajaan negeri dan prestasi kewangan agensi negeri Terengganu tahun 2018 menyebut bahawa secara keseluruhan, baki Kumpulan Wang Disatukan pada akhir 2018 telah menurun sejumlah RM9.08 juta menjadi RM154.67 juta pada tahun 2018 berbanding RM163.75 juta pada 2017.

“Akaun Hasil Disatukan menunjukkan defisit semasa berjumlah RM80.24 juta. Dengan ini, baki Akaun Hasil Disatukan pada akhir tahun 2018 mengalami defisit sejumlah RM2.61 juta berbanding lebihan RM77.63 juta pada akhir tahun 2017,” menurut Ketua Audit Negara Nik Azman Nik Abdul Majid dalam kenyataan itu.

Analisis itu berdasarkan kepada Penyata Kedudukan Kewangan, Penyata Penerimaan dan Pembayaran Wang Tunai, Penyata Prestasi Kewangan, Penyata Akaun Memorandum dan Nota Kepada Penyata Kewangan.

Laporan Ketua Audit Negara mengenai penyata berkenaan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 4 Nov lepas setelah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah seterusnya mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin untuk dibentang di Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini.

Nik Azman dalam laporan itu turut menyebut kutipan hasil menurun RM280.34 juta atau 13.5 peratus menjadi RM1.793 bilion berbanding RM2.073 bilion pada tahun 2017.

Katanya perbelanjaan mengurus (sebelum pindahan kepada Kumpulan Wang Pembangunan) pada tahun 2018 berjumlah RM1.248 bilion menurun sejumlah RM85.30 juta atau 6.4 peratus berbanding RM1.333 bilion pada 2017.

Beliau juga berkata jumlah hutang awam menurun sejumlah RM173.81 juta atau 19.2 peratus menjadi RM733.13 juta berbanding RM906.94 juta pada tahun 2017.

“Tunggakan bayaran balik hutang awam oleh kerajaan negeri menurun sejumlah RM113.96 juta atau 21.3 peratus menjadi RM422.12 juta berbanding RM536.08 juta pada tahun 2017,” katanya.

Laporan tersebut juga menyebut pengauditan yang dijalankan mendapati Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Terengganu Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2018 telah diberi Pendapat Tanpa Teguran.

Nik Azman berkata penyata kewangan tersebut menunjukkan gambaran yang benar dan saksama tentang kedudukan kewangan kerajaan negeri dan rekod perakauan telah diselenggarakan dengan teratur dan kemas kini.

Selain itu katanya sebanyak 15 daripada 16 agensi negeri telah mengemukakan penyata kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2018 untuk diaudit.

Nik Azman berkata 12 daripada 15 Penyata Kewangan tahun 2018 telah disahkan dan diberikan Pendapat Tanpa Teguran, iaitu enam penyata kewangan Badan Berkanun Negeri (BBN) dan enam penyata kewangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Katanya satu penyata kewangan BBN, satu penyata kewangan PBT dan penyata kewangan Majlis Agama Islam Negeri masih belum disahkan.

“Satu agensi lagi masih belum mengemukakan penyata kewangan tahun 2018 untuk diaudit,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS