Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM30,000 terhadap bekas ketua Pemuda PKR Ampang Adam Rosly Abdullah, atas kesalahan memberi pernyataan dan dokumen palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat penghakiman lisan yang menolak rayuan Adam ketika prosiding pagi ini.

"Selepas menimbang penghujahan semua pihak, saya berpandangan tiada keperluan untuk campur tangan (intervene) penghakiman hakim perbicaraan (di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur).

"Saya menolak rayuan dan mengekalkan sabitan dan hukuman," katanya.

Dalam penghakiman sringkas itu, Ahmad Shahrir tidak menjelaskan perincian berhubung asas keputusannya.

Adam, ahli perniagaan berusia 32 tahun, dilihat dibawa keluar dari mahkamah oleh seorang polis.

Dia diwakili peguam Nizam Bashir dan Nik Haslinie Hashim bertindak sebagai timbalan pendakwa raya.

Ketika ditemui pemberita selepas itu, Nizam menjelaskan pihaknya akan memfailkan permohonan rasmi untuk menangguhkan keputusan ini sementara menunggu rayuan di peringkat Mahkamah Rayuan.

"Kami akan failkannya hari ini," katanya sambil menambah satu notis rasmi untuk rayuan di Mahkamah Rayuan juga akan difailkan.

Ketika ditanya berkenaan kemungkinan permohonan penangguhan itu akan didengar Mahkamah Tinggi hari ini, beliau berkata mereka akan cuba untuk membolehkannya tetapi bergantung kepada keperluan pendakwaan untuk membalas permohonan.

Berhubung sama ada Adam telah membayar denda RM30,000 di Mahkamah Sesyen, Nizam berkata ia belum dilakukan kerana kes itu masih dalam proses rayuan di Mahkamah Tinggi.

"Bagaimanapun difahamkan dia akan membayarnya hari ini," katanya lagi.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman terhadap Adam bagi enam pertuduhan memalsukan pernyataan dan dokumen kepada SPRM pada 26 April 2018.

Dia dijatuhkan hukuman penjara enam bulan - yang berjalan serentak bermula hari hukuman dijatuhkan - dan denda RM5,000 untuk setiap pertuduhan.

Hakim Mahkamah Sesyen Allaudeen Ismail menjatuhkan hukuman itu setelah pihak pembelaan gagal membangkitkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapinya.

Pertuduhan terhadap Adam berkaitan siasatan SPRM terhadap dakwaan kemewahan luar biasa yang dimilikinya.

Ia berkaitan pendaptan daripada perniagaannya, kereta mewah dan sebuah banglo berharga RM1.2 juta di Kampung Melayu Ampang, yang dikatakan dibayar secara tunai.

Siasatan turut berhubung pinjaman RM200,000 yang diterimanya daripada ibu mentua dan arwah neneknya, serta RM500,000 daripada along.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan hukuman penjaranya ditangguhkan dan menetapkan ikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin.

Sejumlah 11 saksi dipanggi oleh pendakwaan, dan tiga oleh pembelaan.

Lihat Komen
ADS