Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jambatan ketiga Johor-S'pura perlu untuk atasi kesesakan - Muhyiddin

DUN JOHOR | Pembinaan jambatan ketiga bagi menghubungkan Johor dan Singapura merupakan langkah jangka panjang yang diperlukan bagi menampung kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gambir yang juga Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata beliau sudah memaklumkan berhubung keperluan pembinaan jambatan terbabit kepada kerajaan pusat untuk dilaksanakan.

“Kalau kerajaan negeri sokong, DUN (Dewan Undangan Negeri) sokong, saya akan usahakan inisiatif ini (pembinaan jambatan ketiga) mesti dimulakan sekarang,” katanya ketika sesi perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Iskandar Puteri hari ini.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Kesesakan di Tambak Johor berkata sudah ada kajian awal yang dilakukan menunjukkan terdapatnya keperluan bagi membina sebuah jambatan ketiga bagi menghubungkan Johor dan Singapura.

Pengerusi Pakatan Harapan Johor itu dalam masa sama berkata mungkin jambatan ketiga itu tidak semestinya perlu dibuat dalam bentuk ‘jambatan’ sebaliknya dalam bentuk terowong di Selat Tebrau.

“Kalau kita pergi negara mana pun, kalau di Malaysia dan Singapura ini, tidak hanya perlu ada satu jambatan, kita perlu beberapa jambatan kerana pergerakan manusia dan kenderaan itu lebih kerap.

“Kita dulu ada satu jambatan sahaja (Tambak Johor), kemudian kita ada dua jambatan (Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura) dan sekarang ini kedua-dua ini sudah tidak boleh menampung (kesesakan),” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohd Solihan Badri yang ditemui pemberita di luar persidangan DUN Johor menyifatkan cadangan pembinaan jambatan ketiga yang dikemukakan Muhyiddin itu sebagai langkah tepat.

Beliau berkata ini kerana kompleks CIQ di BSI yang dibina pada 2003 akan mencapai kapasiti penuhnya tahun hadapan yang mana pembesaran kawasan berkenaan dilihat tidak banyak membantu bagi menangani kesesakan di Tambak Johor.

"Seperti yang disebutkan oleh Muhyiddin tadi (semasa perbahasan), kita (kerajaan Johor) memang maklum ia (pembinaan jambatan ketiga) masih di peringkat cadangan kepada kerajaan pusat dan kita belum ada lokasi tertentu dan kaedah yang hendak digunakan kemungkinan jambatan atau terowong.

"Tetapi kerajaan negeri bersetuju dan kita akan usulkan kepada kerajaan Persekutuan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS