Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syed Saddiq sumpah lepas jawatan jika ada bukti penyelewengan di IKBN

PARLIMEN | Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berikrar akan meletakkan jawatan sekiranya terbukti berlaku salah guna kuasa membabitkan kerja di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).

Jelas Syed Saddiq, pihaknya juga telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan syarikat dianugerahkan tiga projek dalam satu masa membabitkan kerja di IKBN.

"Kalau ada salah guna kuasa dipersilakan lapor pada SPRM, pegawai saya sendiri telah diarahkan untuk pergi ke SPRM bagi membuat laporan," katanya ketika sesi penggulungan rang undang-undang perbekalan di Dewan Rakyat petang ini.

Penjelasan Syed Saddiq menimbulkan pertikaian dalam kalangan wakil rakyat pembangkang khususnya, Jalaludin Alias (BN- Jelebu) dan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang terus mengasaknya dalam isu berkenaan.

Pada sebelah pagi Jalaluddin ketika sesi perbahasan berkata, beliau mempunyai bukti kontrak bernilai RM7 juta yang diberikan kepada sebuah syarikat untuk mengendalikan IKBN di Melaka, Selangor dan Perlis.

Beliau turut membacakan nama beberapa syarikat di pelbagai negeri yang didakwanya mendapat kontrak bernilai jutaan ringgit.

Jalaludin mempersoalkan kontrak itu diberikan kepada syarikat tertentu sedangkan menurutnya lebih 6,000 syarikat Bumiputera layak untuk mengendalikan perniagaan makanan di institut berkenaan.

Mohd Shahar pula mencabar supaya Syed Saddiq melepaskan jawatan sekiranya benar berlaku penyelewengan.

Menyahut cabaran Shahar, Syed Saddiq berkata: "Wallahi, wabillahi, watallahi, Allah sebagai bukti saya di sini, kalau ada bukti salah guna kuasa, penyelewengan dan SPRM membuktikan bahawa ini adalah salah guna kuasa saya akan jadi orang pertama akan letak jawatan.

"Saya tak takut dalam bab ini, saya boleh namakan satu persatu, tender sebelum ini dilakukan secara rundingan terus dan 'limited tender', projek terbengkalai, puluhan juta dibazirkan," katanya lagi.

Susulan itu, anggota parlimen PH turut tampil mempertahankan Syed Saddiq.

RSN Rayer (PH-Jelutong) yang turut mencelah mencabar Jalaludin supaya sedia untuk letak jawatan jika terbukti pemberian tender itu melalui saluran ditetapkan.

Sementara itu, Syed Saddiq mendakwa kontrak melibatkan projek di IKBN itu sebelum ini diberikan kepada pihak yang memiliki jawatan dalam Umno.

Syed Saddiq menegaskan bahawa di bawah PH, pemberian tender kepada syarikat berkaitan adalah melalui tender terbuka dan mengikut prosedur.

Takut jumpa menteri

Dalam perkembangan isu berasingan, saranan Syed Saddiq untuk bertemu anggota parlimen bagi membincangkan isu pembangunan di kawasan masing-masing mengundang gurauan anggota parlimen BN.

Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang mencelah berkata, beliau takut untuk bertemu menteri kerana bimbang keluar kenyataan yang berbeza.

Ia dipercayai merujuk kepada pertemuan wakil rakyat BN dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali baru-baru ini.

"Bahaya jumpa sekarang ni tuan pengerusi, kalau jumpa-jumpa nanti lain kenyataannya, bahaya takut dah nak jumpa-jumpa ni," kata Ismail yang membuatkan suasana riuh seketika.

Noor Amin Ahmad (PH- Kangar) yang turut mencelah secara sinis berkata: "Nanti ada yang bertumbuk kat sini pula," katanya, dipercayai Ismail dan Tajuddin Abdul Rahman (BN- Pasir Salak) yang bertengkar di lobi parlimen minggu lalu.

Lihat Komen
ADS