Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saifuddin: Khilaf SPRM hanya prosedur, tak ubah fakta kes

Kekhilafan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam mencadangkan tindakan tatatertib ke atas dua anggota PKR tidak mengubah fakta kes mereka, kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution.

Beliau berkata kenyataan media dari Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki hari ini juga mengesahkan bahawa terdapat surat yang dihantar oleh badan anti-asuah itu kepada jawatankuasa disiplin PKR.

“Jelas SPRM buat satu perakuan iaitu mencadangkan satu tindakan tatatertib. Dalam parti tindakan disiplin, ia fakta siasatan tak berubah, cuma khilaf di pihak SPRM sebelum ini tak menjadi amalan untuk bagi (surat) pada parti politik, dia bagi pada ketua jabatan.

“Pertama, ada aduan dibuat, kedua ada siasatan dibuat SPRM dan dalam surat SPRM itu diberi perincian bahawa mereka telah menemui semua pengadu, saksi dan telah nyatakan pandangan SPRM yang jelas menyebut bahawa ada melakukan kesalahan. Sangat jelas pada pandangan SPRM ada berlaku kesalahan.

“Jadi soal SPRM khilaf itu dari segi prosedur saja. Jadi saya fikir biar kita kekal di situ, sebagai parti reformasi yang sepanjang penubuhannya sangat sensitif isu-isu salah guna kuasa, penyelewengan.

“Sekarang ni satu agensi penyiasat, siasat satu aduan. (Kemudian SPRM) telah hantar surat pada jawatankuasa disiplin beri cadangan, tindakan diambil pada yang terlibat. Kalau kita diamkan diri makna kita condone (merestui perkara sedemikian terus berlaku).

“Kalau kita ambil tindakan maksud kita walk the talk (tunaikan apa yang kita ucapkan). Itu lebih penting dari khilaf prosedur,” kata Saifuddin ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Saifuddin berkata demikian sebagai respons kenyataan SPRM awal hari ini, yang mengakui bahawa mereka telah menghantar surat itu kepada PKR secara tidak sengaja.

Surat seumpama biasanya hanya dihantar kepada agensi kerajaan dan kementerian serta bukan untuk parti politik.

Zakaria Abd Hamid

Berdasarkan surat itu, jawatankuasa disiplin PKR surat dicadangkan mengambil tindakan terhadap Zakaria Abd Hamid iaitu bekas setiausaha politik kepada ketua PKR Sarawak, Baru Bian dan ahli PKR Pahang, Ismail Dulhadi.

Saifuddin juga menganggap surat itu dihantar secara tidak sengaja, dan menganggapnya sebagai mempunyai hikmah apabila didedahkan tentang butiran siasatan kes rasuah tersebut.

Ini termasuk nama-nama orang yang didakwa terlibat dalam kes itu, janji terhadap projek bernilai ratusan ribu ringgit, dan kemasukan pegawai pihak berkuasa tempatan yang mengatakan ditekan dalam pemberian projek kepada orang-orang tertentu.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata beliau tidak dapat mendedahkan maklumat lanjut kerana surat itu diklasifikasikan sebagai sulit.

Saifuddin juga mencadangkan supaya SPRM mengkaji semula prosedurnya dan mempertimbangkan untuk mendedahkan hasil siasatan kepada pemimpin parti politik apabila mereka menyiasat pesalah yang disyaki mendapat kedudukan mereka dalam kerajaan melalui platform politik.

SPRM mempunyai sumber yang lebih baik untuk siasat

Sementara itu, berhubung aduan bahawa jawatankuasa disiplin PKR telah mengambil tindakan terhadap Zakaria dan Ismail tanpa memanggil mereka untuk membela diri, Saifuddin berkata terdapat beberapa kes di mana parti itu tidak perlu mengikuti proses yang sewajarnya.

Ini termasuk dalam kes seperti apabila ahli PKR bertanding dalam pilihan raya  melawan calon yang dipilih oleh parti, anggota yang diisytiharkan bankrap, dan disabitkan di mahkamah.

Dalam kes Zakaria dan Ismail, Saifuddin menyatakan, parti itu memilih untuk mengguna pakai hasil siasatan SPRM kerana menurutnya agensi kerajaan mempunyai sumber dan pengalaman yang lebih baik dalam menyiasat kes rasuah berbanding jawatankuasa tatatertib parti.

"Untuk melalui proses yang sewajarnya, bermakna parti perlu mengulangi semua langkah yang telah diambil oleh SPRM dalam siasatan mereka, yang mana sesetengahnya parti tidak mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian.

"Ini adalah situasi baru, jadi kami mengambil kira tahap kepakaran yang disahkan oleh jawatankuasa tatatertib kami. Ini bukan kes tatatertib biasa, ini melibatkan majlis daerah, kontrak kerajaan, dan (sumber) SPRM (dalam menjalankan siasatan) jauh lebih baik.

"Jadi, itu adalah konteks (mengapa kita membuat keputusan untuk mengamalkan penemuan SPRM)," katanya.

Saifuddin turut mengulas mengenai dakwaan bahawa jawatankuasa disiplin PKR bersikap berat sebelah, yang membawa kepada kritikan oleh Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin.

Zuraida sebelum ini berkata PKR juga harus mengambil tindakan terhadap ahli lain yang melanggar undang-undang negara.

Saifuddin berkata, kes Zakaria dan Ismail berbeza daripada yang lain memandangkan PKR tidak pernah menyembunyikan dengan penemuan siasatan sebelum ini.

“Memang banyak dalam 20 tahun parti bergerak, bermacam-macam laporan dibuat betul, tapi we are not privy to that (kita tidak maklum tentang hal itu)

“Sebab itu pendirian parti, bila ada aduan pada polis, kita serahkan pada polis atau SPRM untuk menyiasat dan ambil tindakan mengikut lunas undang-undang.

“Itu selalunya pendirian parti, Zuraida pun tahu. Jadi dia tak boleh gulung sekali. Ini SPRM siasat Zakaria pecat, SPRM siasat si polan yang lain kita tak ambil tindakan.

“SPRM tak pernah tulis pada kita. Boleh jadi siasatan sedang berjalan, boleh jadi tak lengkap, boleh jadi tiada asas. Berbeza dengan ini, hikmah sebalik khilaf SPRM ini, telah beri satu perincian pada hasil siasatan,” katanya.

Sementara itu, Zakaria ketika dihubungi berkata dia berada di luar negara dan akan mengadakan sidang media mengenai perkara ini Khamis ini.

"Saya masih di luar negara atas urusan kerja. Saya akan buat sidang media sekembali Khamis ini," katanya.

Lihat Komen
ADS