Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Program tutor DAP bantu pelajar lemah BM, Matematik

Satu program perintis bagi membantu pelajar dalam mata pelajaran kritikal seperti Bahasa Melayu dan Matematik di sekolah menengah terpilih di bandar raya ini akan dilaksanakan tahun hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pujut Dr Ting Tiong Choon daripada DAP berkata untuk permulaan, dua sekolah menengah akan terlibat yang mana Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Permaisuri (SMKDP) telah dikenal pasti manakala satu lagi sekolah akan diputuskan selepas perbincangan dengan pengurusan sekolah berkenaan.

“Ia adalah program tutor untuk pelajar Tingkatan Satu yang lemah dalam subjek tertentu seperti Bahasa Melayu dan Matematik,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan proses penyerahan dekoder MyFreeView kepada penerima yang layak di Sekolah Menengah Pei Min di Miri hari ini.

Dr Ting berkata pusat khidmatnya akan membiayai program itu membabitkan bayaran kepada guru yang terlibat serta makanan tengah hari untuk pelajar yang mengambil bahagian.

Beliau berkata pelajar yang terpilih akan datang awal ke sekolah untuk program tutor bersama guru di sekolah yang sama.

Beliau berkata keberkesanan program itu akan dinilai pada akhir tahun untuk menentukan sama ada program itu akan diteruskan atau tidak pada tahun akan datang.

Dr Ting berkata SMKDP dipilih kerana terletak di kawasannya manakala sekolah kedua yang dipilih adalah di luar kawasan tetapi kebanyakan pelajarnya berasal dari kawasan DUN beliau.

Mengenai Program Pengangkutan Pelajar Bersubsidi yang dilaksanakan sejak 1 April lepas oleh pusat khidmat beliau dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Baru, Miri yang menawarkan kadar tambang tetap untuk pelajar sekolah menengah daripada keluarga berpendapatan rendah, Dr Ting berkata maklum balas yang diterima menunjukkan program itu berjaya mencapai matlamatnya.

Beliau berkata matlamat utama program itu adalah untuk menangani ketidakhadiran pelajar ke sekolah kerana masalah pengangkutan dan sejak pelaksanaannya, kadar kehadiran pelajar ke sekolah meningkat kepada 96.6 peratus berbanding 93 peratus sebelum program itu.

“Ia melebihi jangkaan,” katanya dan menambah sebanyak RM20,000 telah dibelanjakan daripada pusat khidmatnya untuk membiayai program itu yang mana ibu bapa hanya perlu membayar RM30 yuran pengangkutan kepada PIBG.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS