Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
13 Adun BN Melaka sedia sokong usul undi tak percaya

Semua 13 Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) BN Melaka sedia untuk menyokong undi tidak percaya bagi menukar kepimpinan kerajaan negeri sekiranya ia dikemukakan.

Ketua Pembangkang DUN Melaka Idris Haron, berkata semua Adun Umno di negeri itu sepakat untuk berbuat demikian sekiranya ada usul dibawa oleh pihak kerajaan.

"Ada khabar angin mengatakan bahawa akan ada undi tidak percaya, kita di pihak BN sememangnya sudah tidak percaya dengan kerajaan yang ada kini.

"Jika ada undi tidak percaya, kami 13 Adun BN akan sokong undi tidak percaya itu nanti," katanya kepada Malaysiakini, petang ini.

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi. Daripada jumlah itu, Pakatan Harapan memiliki 15 kerusi berbanding Umno yang memegang 13 kerusi.

Kerusi PH adalah - Amanah (2), Bersatu (2), PKR (3) dan DAP (8).

Walau bagaimanapun, semalam usul Ketua Menteri, Adly Zahari yang mencadangkan Pengerusi PKR Melaka, Abdul Halim Bachik dilantik sebagai ahli dewan negara ditolak kerana hanya mendapat 12 undi berbanding 13 undi yang menolak, manakala tiga lagi tidak hadir.

Mereka adalah dua wakil dari PKR - Adun Rembia, Muhammad Jailani Khamis dan Adun Machap Jaya, Ginnie Lim Siew Lin - mereka juga adalah anggota exco kerajaan Melaka.

Wakil DAP bagi kerusi Gadek, G Saminathan pula tidak hadir kerana masih ditahan di bawah SOSMA.

Kedua-dua wakil PKR berkenaan dikatakan adalah penyokong Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, dan bertindak meninggalkan sidang sebelum undian bermula.

Dalam pada itu Idris berkata, pembangkang tidak terbabit dengan kemelut kerajaan PH Melaka, namun sedia menyokong undi tidak percaya jika berlaku.

"Kalau dia (pihak kerajaan) nak bawa (undi tidak percaya), kita sangat mengalu-alukan, 13 Adun BN akan sokong.

Sementara itu, Idris meminta Pengerusi Umno Melaka, Abdul Rauf Yusoh mencabar keputusan DUN negeri itu yang menolak pencalon bekas setiausaha kerja Umno itu sebagai senator.

Jelas Idris, ketika sesi persidangan DUN Melaka semalam, pembangkang yang mencalonkan Rauf mendapat sokongan majoriti.

"Sepatutnya speaker berlaku adil semalam, kami mempunyai undi majoriti dan pencalonan Rauf sebagai senator perlu diterima.

"Oleh itu saya meminta Rauf supaya mencabar keputusan yang telah dibuat di DUN Melaka semalam," katanya.

Idris semalam mengemukakan usul calon baru untuk anggota Dewan Negara dengan mengemukakan nama Rauf selepas DUN Melaka menolak usul mencadangkan Abdul Halim.

Usul itu dibuat Idris berdasarkan kepada Peraturan 18.1 Dewan Undangan Negeri yang membolehkan pindaan usul dibuat sebelum speaker bertindak menangguhkan dewan.

Lihat Komen
ADS