Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PARLIMEN | Isu tidak cukup kuorum pada persidangan Dewan Rakyat masih berlaku meskipun telah mendapat teguran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Keadaan itu berlaku ketika sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) oleh Timbalan Menterinya Hannah Yeoh yang kecoh seketika malam ini apabila kedua-dua blok penyokong kerajaan dan pembangkang mempersoalkannya.

Sewaktu proses pengiraan undi untuk menyokong atau menolak rang undang-undang itu pada 9 malam, ahli parlimen daripada kem kerajaan dan pembangkang bangun, bertekak dan menjerit mempersoalkan kuorum blok masing-masing.

Loceng terpaksa dibunyikan bagi memanggil ahli parlimen masuk ke dewan sebelum Speaker Mohamad Ariff Md Yusof membacakan keputusan bahawa usul itu diterima selepas lebih suara yang menyokong iaitu 45 orang berbanding 28 orang yang menolak.

Pada Khamis lepas, Dr Mahathir menegur sebilangan ahli parlimen yang tidak menghadiri persidangan Dewan Rakyat sekali gus memberi gambaran seolah-olah mereka tidak berminat untuk berkhidmat kepada rakyat.

Terdahulu, Yeoh sewaktu menggulung perbahasan itu berkata sebanyak 22 kes penderaan kanak-kanak di Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) dilaporkan berlaku dari 2017 hingga 2019.

Katanya ia membabitkan masing-masing sebanyak lima kes pada 2017 dan 2018 selain 12 kes pada tahun ini.

Beliau berkata beberapa inisiatif diambil bagi menangani kes penderaan kanak-kanak di Taska antaranya pemantauan di Taska berdaftar secara berkala dan mengejut oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat serta tindakan penguatkuasaan.

“Sebanyak 226 tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap Taska yang berdaftar dan tidak berdaftar yang tidak mematuhi Akta Taska 1984 dan Peraturan-Peraturan Taska 2012,” katanya.

Persidangan dewan bersambung esok.

- Bernama

Lihat Komen
ADS