Paling Popular
Terkini

WAWANCARA | Di sebalik kemenangan besar BN di Tanjung Piai, nampaknya ada satu lagi pengajaran berguna buat MCA menghadapi laluan berliku yang mendatang.

Pengajaran itu - jika menurut pandangan Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin - ialah perlunya MCA bersikap sederhana dan memahamkan komuniti Cina di negara ini agar turut bersikap sederhana.

Sebaliknya, kata Khaled, jika MCA mahu menyaingi DAP dengan berlumba-luba menjuarai isu-isu kepentingan bangsa secara berlebihan, parti itu akan gagal.

"Banyak yang boleh kita pelajari daripada keputusan pilihan raya kecil (PRK) baru-bari ini. Antaranya ialah untuk mengukur tahap sokongan pengundi Cina.

"Pada pandangan saya, kalau MCA cuba untuk menjadi juara lebih daripada DAP, dia akan gagal," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini di Kuala Lumpur semalam.

Khaled yang juga bekas menteri besar Johor menambah, dalam negara ini semua kaum perlu bersikap sederhana dan ia ditunjukkan terlebih dulu oleh orang Melayu yang bertoleransi tinggi.

Justeru kata beliau MCA sebagai satu-satunya parti Cina di negara ini perlu berusaha keras memahamkan pengundi bangsa itu agar mereka faham betapa perlunya mereka bersikap sederhana.

Usah terikut-ikut

Kata Khaled, Cina yang perlu dikembangkan ialah bangsa yang memahami hakikat bahawa negara ini kaum majoriti adalah Melayu serta peruntukan Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan mesti dihormati.

"MCA perlu bekerja untuk memastikan orang Cina moderate, orang Cina faham perkara ini, orang Cina tahu ini realitinya di Malaysia. Inilah karekter Malaysia... MCA perlu bekerja untuk ini.

"Tetapi kalau MCA cuba untuk jadi lebih DAP daripada DAP, semua orang Cina akan jadi rasis," katanya.

PRK Tanjung Piai baru-baru ini menjadi tamparan hebat kepada PH apabila calon parti kerajaan kalah teruk kepada pembangkang yang diwakili Ketua MCA kawasan itu, Wee Jeck Seng.

Pada awalnya PH dianggap memiliki kelebihan kerana BN menurunkan calon Cina di kawasan parlimen yang memiliki pengundi Melayu sebagai majoriti.

Wee merampas semula kerusi yang pernah diwakilinya selama dua penggal sebelum ini dengan kelebihan lebih 15,000 undi. 

Ia sekali gus membantu MCA mencatat peningkatan 100 peratus ahli parlimen mereka di Dewan Rakyat, daripada seorang kepada dua orang.

Dalam PRU ke-14 tahun lalu MCA mencatat keputusan sangat buruk apabila hanya memenangi satu kerusi parlimen dan dua kerusi DUN di sebalik pertaruhan mereka meletakkan 39 calon di parlimen dan 90 di DUN.

Khaled berkata MCA tidak boleh terikut-ikut dengan rentak dibawa DAP.

Ini negara majmuk

Realiti negara ini, kata beliau, memang memerlukan pembabitan orang Cina di sebalik kedudukan Melayu sebagai penduduk majoriti.

"Dari segi ekonomi, berniaga, jadi orang kaya - tak ada apa yang menghalang mereka untuk jadi begitu. Jadi, apa masalahnya?

"Terimalah hakikat, ini adalah karakter Malaysia. Tak ada Malaysia lama, tak ada Malaysia Baru. Inilah Malaysia yang jelas menyatakan tentang kedudukan bahasa Melayu, raja-raja Melayu, orang Melayu.

"Jika ada cubaan untuk mengubahnya, ia tidak akan berjaya," katanya.

Ditanya sama ada prestasi buruk MCA pada PRU lalu berpunca daripada kegagalan parti itu menjelaskan realiti berkenaan, Khaled sekali lagi menegaskan, ia disebabkan parti itu mahu menyaingi DAP.

"Dia (MCA) cuba untuk jadi lebih daripada DAP, sebab itu mereka kalah. Sebab kamu mahu menukar semua orang Cina menjadi rasis.

"DAP sudah cuba mengubah agar semua orang Cina menjadi rasis tetapi Malaysia ini negara majmuk.

"Takkanlah hal itu hanya kita cakapkan kepada orang Melayu.... kita katakan hanya kepada orang Melayu, Malaysia ini negara majmuk.

"Kita perlu bersederhana, tetapi tiada sesiapa yang memberitahu mereka (masyarakat Cina) tentang hal itu," katanya.

Pada masa sama, Khaled menegaskan MCA bukan musuh kepada BN, malah parti itu diletak mewakili pembangkang di Tanjung Piai kerana matlamat mereka adalah untuk menang.

Selepas menang, katanya, tahap keyakinan orang ramai - tanpa mengira kaumnya - kepada parti itu juga akan bertambah tinggi.  

"Sekarang ini, semua kaum ada macam-macam masalah dengan kerajaan sedia ada... itu nasib kerajaan (PH) inilah," katanya.


Al-Abror Mohd Yusuf turut menyumbang kepada berita ini.

Lihat Komen
ADS