Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kutipan Zakat Melaka meningkat hampir 4 peratus

Kutipan zakat harta dan fitrah di Melaka meningkat 3.99 peratus kepada RM76.17 juta berbanding RM73.25 juta bagi tempoh Jan hingga semalam, kata Ketua Menteri Adly Zahari.

Menurut beliau, jumlah pengeluar zakat juga meningkat daripada 42,993 pembayar kepada 41,936 pembayar bagi tempoh sama.

Daripada jumlah itu, kata Adly, zakat fitrah mencatatkan kutipan sebanyak RM4.45 juta pada tahun ini, meningkat 15.85 peratus daripada RM3.84 juta pada tahun lepas.

Adly yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (Maim) berkata zakat pendapatan mencatatkan kutipan tertinggi, dengan meningkat 4 peratus menjadi kira-kira RM44.78 juta berbanding RM43.06 juta pada tahun lepas.

"Zakat ternakan pula merekodkan kutipan terendah iaitu sebanyak RM38,321.85, namun meningkat sebanyak 42.03 peratus berbanding RM26,981 pada tahun lepas.

"Kutipan zakat perniagaan ialah yang kedua tertinggi iaitu kira-kira RM13.74 juta dalam tempoh sama tahun ini berbanding RM13.96 juta dalam tempoh sama tahun lepas, menurun 1.61 peratus," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan dan Pelancaran Jom Berzakat di Melaka, malam tadi.

Pada majlis itu, sebanyak 10 agensi dan syarikat di Melaka menyerahkan zakat perniagaan masing-masing dengan jumlah keseluruhan lebih RM1.27 juta.

Syarikat dan agensi tersebut ialah:

  • Bina Masyhur Sdn Bhd (RM318,335)
  • Fazil Agency (RM300,199)
  • QSR Brands (M) Sdn Bhd (RM156,882)
  • Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd (RM150,000)
  • Gerbang Alaf Restaurants Sdn bhd (RM101,000)
  • Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (RM100,000)
  • CIMB Islamic Bank Sdn Bhd (RM50,000)
  • Melaka Sentral Sdn Bhd (RM35,000)
  • MBSB Bank Berhad (RM33,770.58)
  • Hong Leong MSIG Takaful Bhd (RM30,000).

Mengulas lanjut, Adly yang juga Exco Kewangan, Tanah, Perancangan Ekonomi dan Hal Ehwal Agama Melaka berkata zakat wang simpanan meningkat 7.3 peratus kepada RM11.83 juta pada tahun ini diikuti emas dan perak (RM650,574.44), saham (RM611,804.39) dan pertanian (RM62,650).

Sementara itu, beliau berkata Zakat Melaka menyasarkan kutipan kira-kira RM104 juta pada tahun depan berbanding sasaran RM95 juta pada tahun ini.

Katanya peningkatan itu diyakini mampu dicapai ekoran kesedaran umat Islam di negeri ini terhadap kewajiban Rukun Islam ketiga itu semakin meningkat, selain penambahbaikan medium pembayaran menerusi platform atas talian izakat.com yang baru diperkenalkan pertengahan tahun ini.

"Setakat ini izakat.com hanya mengendalikan pembayaran zakat fitrah namun ia akan diperluaskan untuk pembayaran zakat harta bagi memudahkan umat Islam di negeri ini menunaikan tanggungjawab mereka," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Abdul Halim Ismail, berkata menerusi izakat.com umat Islam boleh membuat pembayaran zakat melalui kaedah auto debit, dengan potongan gaji tanpa melalui majikan yang dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya bulan hadapan.

Beliau berkata selain itu, inisiatif i-kendiri dan i-majikan telah diperkenalkan bagi menarik dan menggalakkan lebih ramai umat Islam menggunakan perkhidmatan atas talian itu selewat-lewatnya Januari depan.

"Menerusi inisiatif i-kendiri, pembayar zakat boleh menyemak, mengira dan membayar zakat yang telah dan akan dibuat manakala menerusi kaedah i-majikan pembayar zakat boleh menunaikan tanggungjawab mereka melalui potongan gaji secara dalam talian," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS