Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah Rayuan kekalkan hukuman gantung 'doktor ganja'

Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap Muhammad Lukman Mohamad atau juga dikenali sebagai ‘doktor ganja’ yang didapati bersalah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Yaacob Md Sam mengekalkan keputusan mahkamah tinggi Shah Alam yang mendapati Muhammad Lukman bersalah atas tiga pertuduhan mengedar 3,010 mililiter delta 9 tetrahydrocannabinol (ekstrak kanabis), 1,422 gram delta 9 tetrahydrocannabinol dan 279.81 gram kanabis pada Ogos tahun lalu.

Peguam bela Hisyam Teh Poh Teik ketika ditemui di luar mahkamah berkata pihaknya akan membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.

"Mahkamah hari ini juga membenarkan pihak pembelaan untuk membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.

"Kami akan membuat rayuan," katanya.

Bagaimanapun, bagi pertuduhan mengedar ganja, mahkamah mengurangkan hukuman daripada sabitan asal 10 tahun penjara kepada 7 tahun penjara dari tarikh ditangkap dan 10 sebatan.

Untuk hukuman 10 sebatan mahkamah membenarkan penangguhan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Selain hakim Yaakob panel hakim lain ialah Hakim Zabariah Mohd Yusof dan Hakim Harmindar Singh Dhaliwal.

Lukman, 30 tahun bapa kepada seorang anak dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Bandar Mahkota, Banting pada 6.45 petang 7 Disember 2015.

Lihat Komen
ADS