Malaysia terus tiada hubungan diplomatik dengan Israel
Parlimen Rakyat diingatkan bahawa kerajaan tidak memusuhi Yahudi tetapi yang ditentang ialah dasar zionism yang diamalkan oleh rejim Israel.
Parlimen Rakyat diingatkan bahawa kerajaan tidak memusuhi Yahudi tetapi yang ditentang ialah dasar zionism yang diamalkan oleh rejim Israel.
"Kita perlu mengingatkan rakyat bahawa kita tidak memusuhi Yahudi....Dalam Islam itu sendiri banyak Nabi-Nabi Islam terdiri daripada Yahudi, yang kita tentang ialah dasar Zionism yang dipertahankan rejim yang ada sekarang ini," tegas Setiausaha Parlimen Kementerian Luar, Ahmad Shabery Cheek.
Menurut beliau, kerana rejim Israel masih mempertahankan dasar zionismnya, maka kerajaan Malaysia tidak berhasrat mengkaji semula dasar tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan negara Yahudi itu.
"Ini kerana Malaysia berpendirian bahawa selagi syarat-syarat tertentu tidak dipenuhi oleh Tel Aviv, tiada sebab bagi Malaysia untuk menukar dasar yang sedia ada iaitu tidak mewujudkan hubungan diplomatik dengan Israel," katanya semasa menjawab soalan Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) pada sesi soal jawab Dewan Rakyat hari ini.
Menurut laporan Bernama, Ahmad Shabry menyebut antara syarat-syarat yang ditentukan adalah supaya Israel menerima resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung konflik Palestin dan Israel.
Rakyat Palestin yang selama ini menjadi pelarian di bumi mereka sendiri, juga mestilah dibenarkan kembali dan tinggal di Palestin, katanya lagi.
Menjawab soalan Salahuddin sama ada perhubungan perniagaan boleh dipertimbangkan, Ahmad menjelaskan penentangan adalah terhadap dasar Zionism Israel dan oleh itu hubungan antara rakyat satu sama yang lain tidak boleh disalahertikan sebagai menyokong dasar yang dianut rejim Tel Aviv itu.
Beliau memberi contoh selepas Perjanjian Oslo pada 1993 yang menjadi asas perundingan damai antara Palestin dan Israel, terdapat perkembangan positif dalam hubungan kedua-dua pihak tersebut yang diikuti dengan pengiktirafan banyak negara Islam lain seperti Mesir dan Jordan terhadap Israel.
"Kerajaan Malaysia telah mendapat sedikit pandangan tentang kelonggaran tertentu tanpa bermaksud untuk mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel, misalnya tentang rakyat Malaysia yang ingin mengunjungi tempat suci seperti Baitul Muqaddis.

